EKONOMI

Elaun Cukai Pelaburan Baharu Galakkan Pks Tingkatkan Kapasiti Di Bawah Nimp 2030 - Acca

05/06/2024 11:53 AM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Elaun Cukai Pelaburan (ITA) yang baharu akan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan kapasiti dan pelaburan dalam aktiviti bernilai tinggi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 setelah tempoh kelayakan elaun pelaburan semula mereka itu tamat.

Rakan Kongsi dan Ketua Cukai Tidak Langsung KPMG Ng Sue Lynn berkata walaupun garis panduan penuh mengenai perkara itu masih belum dikeluarkan, kadar yang layak akan ditentukan menggunakan pendekatan berasaskan hasil.

“PKS boleh memohon kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dari 1 Jan, 2024 hingga 31 Dis, 2028,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Ng berkata menjelang  pelaksanaan e-invois yang dijangkakan, yang belum diwartakan pada masa ini, PKS boleh menikmati potongan khas sebanyak RM50,000 untuk setahun taksiran (YA) dari YA 2024 hingga YA 2027 bagi menyokong pelaksanaannya.

Beberapa pelepasan sedia ada masih tersedia, walaupun dengan kelayakan yang diperketatkan, katanya dalam kenyataan.

Ini termasuk rebat cukai permulaan, kadar cukai pendapatan konsesi dan elaun modal khas.

Ng, Felow Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) turut menekankan bahawa pinjaman mikro kredit di bawah RM50,000 dikecualikan daripada duti setem.

“Lebih-lebih lagi bagi skim geran pendigitalan yang merupakan kerjasama baru-baru ini di antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ia menawarkan geran padanan sebanyak 50 peratus, dihadkan kepada RM5,000 bagi setiap entiti, untuk membantu PKS dalam pendigitalan,” katanya.

Bagi sentiasa mendapat kemas kini dengan keperluan percukaian terkini, Ng mencadangkan agar PKS menghadiri sesi latihan, bengkel dan seminar tetap yang dianjurkan oleh pihak berkuasa cukai seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi-agensi kerajaan lain serta organisasi seperti ACCA yang menyediakan makluman kemas kini.

“Ini adalah tiga perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh PKS dalam memfailkan cukai. Mula-mula, semak semula status syarikat anda untuk memastikan ia kekal mematuhi pelbagai keperluan kawal selia.

“Kedua, sebelum menuntut sebarang insentif, pastikan syarikat anda memenuhi kriteria kelayakan, kerana kebanyakan insentif mempunyai syarat. Ketiga, jangan tunggu sehingga saat akhir untuk menyiapkan kertas kerja anda,” kata Ng.

Memandangkan semua syarikat bersedia untuk peralihan kepada e-invois, Ng mencadangkan agar pemilik perniagaan melawati portal LHDN untuk melihat secara menyeluruh tentang e-invois yang akan menjadi mandatori untuk semua menjelang 1 Julai, 2025.

Apabila dilengkapi dengan pengetahuan yang berkaitan, pemilik perniagaan boleh mengambil langkah seterusnya seperti mendidik kakitangan dan pihak berkepentingan utama tentang keperluan-keperluan baharu, dan menilai operasi perniagaan secara kerap untuk memastikan pematuhan dengan pengeluaran dan penerimaan invois.

Dengan tarikh akhir 1 Julai, 2025 untuk PKS, beliau juga menasihatkan untuk melihat sistem perancangan sumber bagi syarikat dalam memastikan ia serasi dengan LHDN dan mampu mengeluarkan e-invois.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan