AM

Kajian Ekologi Kawasan Legar Haiwan Liar Perlu Disegerakan Atasi Konflik Haiwan, Manusia

05/06/2024 11:36 AM

Oleh Siti Maisarah Ahmad

GUA MUSANG, 5 Jun (Bernama) -- Satu kajian ekologi khususnya berkaitan kawasan legar haiwan liar perlu disegerakan bagi menyelesaikan konflik haiwan liar dan manusia khususnya di Kelantan, menurut  Presiden Persatuan Ekologi Malaysia Prof Dr Ahmad Ismail.

Beliau berkata kawasan legar haiwan liar membolehkan aktiviti mencari makanan dan pembiakan berlaku tanpa menimbulkan sebarang konflik terhadap manusia. 

“Sudah sekian lama insiden melibatkan haiwan liar dan manusia berlaku sama ada dari segi kemalangan jalan raya, kerosakan tanaman dan harta benda, kehilangan nyawa atau kecederaan manusia dan lain-lain konflik manusia dan haiwan liar.

“Kawasan berkeperluan khas seperti jenut garam bagi haiwan liar perlu diberikan perhatian khusus. Jika perkara ini tidak diberikan perhatian, maka masalah ini akan berterusan dan tidak ada penyelesaian,” katanya kepada Bernama.

Jenut garam merupakan kawasan luahan air mengandungi garam tinggi yang menjadi jilatan binatang-binatang liar bagi mendapatkan zat diperlukan. 

Mengulas lanjut, Ahmad berkata kerjasama antara agensi pembangunan dan perlindungan hidupan liar perlu seiring bagi mencari penyelesaian lebih efektif terhadap permasalahan itu.

“Apabila hutan semakin mengecil, laluan haiwan liar bukan sahaja terhalang bahkan makanan dan habitat yang bersesuaian juga berkurangan menjurus kepada peningkatan konflik.

“Saya mencadangkan agar penggunaan teknologi satelit gajah dilaksanakan secara meluas bagi memantau pergerakan dan bilangan gajah yang ada sekali gus mengatasi kekerapan konflik gajah dan manusia yang berlaku di jajahan ini,” katanya. 

Sebelum ini, Perhilitan Kelantan telah mengambil langkah memasang lampu diod pemancar cahaya di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan masuk gajah liar ke kawasan penempatan manusia serta membina Sistem Pagar Elektrik Gajah di sekeliling kawasan terlibat berdasarkan aduan diterima daripada masyarakat setempat. 

Pada Mei lepas, seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas diserang seekor gajah liar di dalam ladang Kampung Om, Pos Blau manakala seorang wanita warga Myanmar cedera diserang gajah liar di Ladang Aring 8.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan