KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Aeon Co (M) Bhd akan membeli dua bidang tanah di Seremban, Negeri Sembilan pada harga RM102.89 juta daripada Real Attraction Sdn Bhd.
Aeon dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata pihaknya memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Real Attraction bagi membeli tanah tersebut, yang masing-masing seluas 0.96 hektar dan 8.36 hektar.
“Cadangan penggunaan tanah itu adalah untuk membina pusat beli-belah bangunan-komersial atau yang setaraf dengannya untuk menawarkan pusat beli-belah dengan tempat letak kereta dan gedung beli belah merangkap pasar raya di atas tanah tersebut,” katanya.
Aeon berkata syarikat itu akan membayar 10 peratus daripada harga pembelian setelah menandatangani SPA, dan baki 90 peratus daripada harga pembelian akan dibayar secara berperingkat kepada vendor sehingga berjaya memindahkan hak milik atas nama syarikat seperti yang dinyatakan dalam jadual pembayaran yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
"Cadangan pembelian itu selaras dengan strategi korporat Aeon untuk membangunkan perniagaan runcitnya dan memberi peluang kepadanya untuk berkembang di Seremban.
“Tanah-tanah tersebut terletak di lokasi yang strategik, bersebelahan dengan Aeon Mall Seremban 2 sedia ada, yang membolehkan syarikat membina bangunan pusat membeli-belah komersial yang dihubungkan Aeon Mall Seremban 2 sebagai salah satu pelan pengembangan strategik,” katanya.
Menurut Aeon, cadangan pembelian tanah itu dijangka memberi sumbangan positif kepada perniagaannya pada masa depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial