DUNIA

Jokowi Lawat Nusantara Selepas Lantik Pegawai Baharu Pantau Projek Ibu Kota

04/06/2024 02:59 PM

JAKARTA, 4 Jun (Bernama) -- Presiden Joko Widodo, yang juga dikenali sebagai Jokowi melawat Nusantara pada Selasa, sehari selepas melantik kepimpinan baharu bagi Pihak Berkuasa Ibu Kota Nusantara (OIKN).

Perjalanan beliau bermula dengan penerbangan ke Balikpapan, Kalimantan Timur pada petang Isnin, diikuti dengan lawatan ke ibu kota baharu untuk menyelia kemajuan pembangunan dan merasmikan projek-projek pendidikan.

Dalam kemas kini video yang dikongsi di media sosial, Jokowi menyatakan: "Kami juga akan memeriksa persiapan untuk sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos yang akan datang."

Jokowi melantik  Menteri Kerja Raya dan Perumahan Awam M. Basuki Hadimuljono dan Timbalan Menteri Agraria dan Tata Ruang, Raja Juli Antoni masing-masing sebagai pemangku ketua dan timbalan ketua OIKN.

Menteri Sekretariat Negara, Pratikno dalam sidang media pada Isnin mengumumkan berita bahawa Jokowi telah menerima surat peletakan jawatan bekas ketua dan timbalan ketua pihak berkuasa itu, Bambang Susantono dan Dhony Rahajoe.

Bambang meletak jawatan ketua OIKN yang disandangnya sejak Mac 2022, kira-kira dua bulan menjelang acara penting yang dijadualkan pada Ogos di Nusantara.

Menurut Pratikno, Basuki dan Raja Juli dipanggil oleh Jokowi untuk memajukan pembangunan Nusantara selaras dengan pelan “Nusa Rimba Raya”, yang memberi tumpuan kepada pemeliharaan sumber semula jadi, terutama hutan, sambil meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Sementara itu, Basuki menekankan komitmen mereka untuk menyelesaikan isu tanah dan pelaburan di Nusantara, dengan menyatakan: "Kami akan segera memutuskan status tanah di Nusantara, sama ada melalui jualan, pajakan, atau skim Perkongsian Awam-Swasta. Matlamat kami adalah untuk mempermudah prosedur dan meningkatkan keyakinan pelabur."

Menteri itu juga ditugaskan untuk menubuhkan kerajaan tempatan khas untuk Nusantara dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri melalui pasukan tugas bersama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan