DUNIA

PENGERUSI ASEAN: PENGANALISIS SAHKAN KESEDIAAN MALAYSIA

04/06/2024 12:29 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih peranan Pengerusi ASEAN tahun depan, penganalisis yakin dengan kesediaan negara, menggariskan perkhidmatan awamnya yang cekap dan rekod prestasi yang terbukti dalam menganjurkan acara antarabangsa utama, termasuk berkhidmat selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2015. 

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan percaya pengalaman Malaysia mengetuai kumpulan 10 ahli itu, digabungkan dengan kementerian luar yang kukuh, telah menyediakan negara dengan baik untuk peranan berkenaan.

“Sejak Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan kementerian luar dan kementerian lain yang berkaitan untuk mewujudkan satu sistem yang komprehensif.

"Sistem perkhidmatan awam kita amat cekap, memastikan operasi yang lancar sebagai Pengerusi ASEAN," katanya kepada BERNAMA ketika diminta mengulas mengenai kesediaan Malaysia untuk menjadi Pengerusi ASEAN.

Beliau berkata, dasar luar negara Malaysia yang konsisten, yang dikekalkan oleh perdana menteri berturut-turut sejak kemerdekaan, turut memainkan peranan penting dalam kesiapsiagaannya.

"Tidak akan ada kejutan atau gangguan dalam kecekapan kita selaku Pengerusi ASEAN," kata penganalisis itu.

Sementara itu, Pengarah dan Pengasas Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin menekankan keupayaan cemerlang Malaysia dalam menguruskan acara antarabangsa.

"Malaysia adalah pengurus acara antarabangsa yang terkenal, boleh dikatakan yang terbaik," katanya.

Laos akan menyerahkan baton pengerusi ASEAN untuk tahun 2025 pada Sidang Kemuncak ASEAN dari 8 hingga 11 Okt.

Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, kini terdiri daripada 10 negara anggota - Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam.

Keahlian penuh Timor-Leste dalam blok ASEAN masih belum selesai.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan