DUNIA

China, Libya Diharap Jadi Rakan Pelaburan

03/06/2024 02:09 PM

BEIJING, 3 Jun (Bernama-CMG) -- China dan Libya diharap menjadi rakan pelaburan, sekali gus menjadikan Libya sebagai pintu bagi negara Tembok Besar itu memasuki pasaran Afrika.

Harapan itu dizahirkan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional Libya merangkap Menteri Luar, Abdul Hamid Dbeibeh dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Dbeibeh berkata Libya digelar sebagai 'pintu Afrika' kerana kedudukannya dari segi geografi.

Libya sedang merencanakan sebilangan projek penting, termasuk pembinaan jalan raya menghubungkan Afrika dengan Laut Mediterranean dan mengalu-alukan pelaburan serta kerjasama untuk projek berkenaan.

"Banyak kawasan di Libya kaya dengan sumber tenaga suria. Kami (Libya) sedang merancang sebuah projek janakuasa suria untuk membekalkan tenaga elektrik kepada Eropah Selatan.

"Kami juga merancang untuk membina lapangan terbang dan landasan kereta api yang menghubungkan seluruh benua Afrika," kata beliau sambil menyifatkan prospek pelaburan di Libya sangat meluas dan amat berpotensi.

Menurut Dbeibeh, dunia yang unipolar pasti menuju ke arah tidak masuk akal manakala yang multipolar akan membawa keseimbangan buat dunia.

Beliau menyatakan China antara kuasa yang penting, seimbang dan adil dalam dunia multipolar, dengan pendirian tidak ingin berkonflik.

"Sudah dibuktikan bahawa negara Tembok Besar merupakan penyumbang kepada kehidupan yang indah," kata Dbeibeh.

--BERNAMA-CMG 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan