AM

Mta Pupuk Silaturrahim, Gaya Hidup Sihat Antara Pemain Industri Takaful Melalui Sukan

02/06/2024 09:38 PM

PETALING JAYA, 2 Jun (Bernama) -- Bersaing dalam perniagaan tidak menghalang pemain industri takaful di negara ini untuk bersatu bagi mempromosikan gaya hidup sihat menerusi penganjuran aktiviti sukan. 

Ketua Pegawai Operasi Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Hasri Hamidan berkata antara usaha yang dilakukan ialah pertandingan boling yang turut menjadi medium mengeratkan silaturrahim pemain industri syarikat takaful di Malaysia. 

"Kita nak tunjukkan kepada masyarakat bahawa, kita lebih teguh dan kuat jika bersatu padu. Walaupun bersaing sesama sendiri dalam bidang perniagaan, tetapi dalam mempromosikan perkara seperti kehidupan sihat atau literasi kewangan, kita sentiasa membantu antara satu sama lain. 

"Acara sukan seperti ini juga bagi mempromosikan kehidupan sihat dalam kalangan kami yang terlibat dalam industri berkisar penjagaan kesihatan," katanya semasa ditemui pada Kejohanan Boling Takaful4All Inter-TO 2024 di sini, semalam.

Hasri berkata penganjuran acara sukan seperti pertandingan boling dan futsal bukan asing kepada mereka, kerana telah diadakan setiap tahun sejak 2011 sebelum dihentikan buat sementara waktu akibat pandemik COVID-19 dan kembali dianjurkan semula pada 2022.

"Acara futsal juga dijangka dianjurkan kembali tahun ini, antara Julai atau Ogos ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasri berkata pelbagai perancangan sedang dilakukan MTA bagi menyambut ulang tahun ke-40 industri takaful di negara ini pada tahun ini.

"Kita sedang membangunkan pelan transformasi strategik untuk industri yang dikenali sebagai Hijrah27, yang dijangka akan dibentangkan pada suku ketiga tahun ini.

"Insya-Allah, menjelang suku ketiga tahun ini, kita akan menganjurkan program seperti konvensyen dan persidangan industri takaful selain program sukan bagi menyatukan pemain industri sektor takaful," katanya.

Kejohanan boling itu telah ditaja oleh Prudential BSN Takaful Berhad dan melibatkan 29 kumpulan mewakili 12 syarikat takaful di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) Wan Saifulrizal Wan Ismail, penglibatan mereka dalam program itu selaras dengan komitmen PruBSN untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat termasuk kesedaran tentang pengamalan gaya hidup sihat. 

"Sebagai komuniti takaful, kami berhasrat untuk menerapkan amalan tersebut dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh MTA, di samping memberi peluang untuk kami bersaing secara sihat antara satu sama lain," katanya.

Kejohanan tersebut telah dimenangi oleh Kumpulan Etiqa A , diikuti oleh Kumpulan Etiqa B di tempat kedua dan Zurich Dragon Bowl di tempat ketiga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan