DUNIA

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Adakan Perjumpaan Di Mumbai Untuk Promosi Hubungan Perniagaan

01/06/2024 07:10 PM

NEW DELHI, 1 Jun (Bernama) -- Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzafar Shah Mustafa telah mengadakan perjumpaan dengan kumpulan perniagaan utama di Mumbai dan mengadakan kunjungan hormat kepada Gabenor negeri Maharashtra untuk mempromosikan hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih erat antara Malaysia dan India.

Dalam lawatan sulungnya ke bandar itu sejak tiba di India pada Oktober tahun lepas, Muzafar berinteraksi dengan komuniti perniagaan tempatan dan syarikat-syarikat Malaysia yang berpangkalan di ibu kota kewangan India itu.

Beliau mengadakan pertemuan dengan kumpulan perdagangan Persatuan Industri Bombay dan Majlis Kimia India, serta dua syarikat Hem Industries dan Kettro semasa lawatan pada 30 dan 31 Mei.

"Pertemuan-pertemuan ini menumpukan kepada pengukuhan hubungan perdagangan dan perniagaan antara Malaysia dan India," kata Suruhanjaya Tinggi kepada Bernama dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pertemuannya dengan Gabenor Maharashtra, Ramesh Bais, Muzafar memberi tumpuan kepada meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan, pelancongan, minyak sawit dan hubungan antara rakyat.

Pesuruhjaya Tinggi mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri oleh wakil-wakil dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tourism Malaysia, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu-Kayan  Malaysia, bersama pegawai dari konsulat Malaysia di Mumbai dan Chennai.

Dengan nilai perdagangan dua hala sebanyak US$16.53 bilion pada tahun 2023, Muzafar menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia untuk meneroka lebih banyak peluang bagi mengembangkan hubungan ekonomi dengan India untuk mendapat manfaat daripada perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani oleh India dengan Malaysia dan ASEAN.

India adalah destinasi eksport terbesar ke-11 Malaysia dan sumber import terbesar ke-12.

Khazanah Malaysia, Petronas Lubricants, Maybank, dan MFE Formwork Technology (India) Pvt. Ltd adalah antara syarikat-syarikat Malaysia terkemuka yang telah membuka pejabat mereka di Mumbai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan