Daripada M.Saraswathi
TOULOUSE, 1 Jun (Bernama) -- Penggantian kumpulan pesawat lama dengan pesawat generasi baharu seperti A330neo masih belum mencapai tahap maksimum, menurut Pengarah Pembangunan Pasaran Pesawat Badan Lebar Airbus Rodrigo Lezama.
Beliau berkata, sebagai contoh, terdapat lebih 1,000 pesawat A330ceo yang berada dalam kumpulan pesawat di seluruh dunia dengan purata umur antara 12 dan 14 tahun, bergantung kepada model.
“Oleh itu, apa yang kami lihat adalah pesanan kelompok pertama A330neo akan terlibat dalam penggantian bagi kumpulan pertama dan kami mendapati banyak (bilangan) pesawat yang masih perlu ditukar.
“Sehubungan itu, kami berpandangan bahawa kemuncak penggantian masih lagi belum berlaku,” katanya dalam taklimat baru-baru ini, melibatkan terutamanya media Malaysia yang berada di sini bagi menyaksikan peringkat terakhir sebanyak 20 pesawat pertama A330neo Malaysia Airlines.
Malaysia Airlines menggantikan 21 pesawat A330ceo secara beransur-ansur.
Menurut prospek pasaran global Airbus, permintaan bagi pesawat penumpang dan pengangkut baharu sepanjang 2023 hingga 2042 di Asia Pasifik berjumlah 18,920, dengan 80 peratus daripada pasaran melibatkan kumpulan pesawat jenis satu lorong dan selebihnya pesawat berbadan lebar.
Lezama berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 70 peratus daripada pesawat adalah untuk pertumbuhan manakala lebihan 30 peratus bagi penggantian kumpulan pesawat.
Menurutnya Airbus yakin untuk menguasai pasaran bagi pertumbuhan dan penggantian armada atau kumpulan pesawat berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa pemodenan kumpulan pesawat adalah perlu untuk memberikan reaksi terhadap cabaran akan datang sama ada dari segi ekonomi, perindustrian dan alam sekitar.
Pesawat A330neo merupakan pesawat pertama mendapat perakuan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) bagi piawaian baharu pelepasan karbon dioksida (CO2) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sekali gus memaparkan pematuhannya terhadap peraturan alam sekitar.
Lezama berkata, dari segi pengeluaran, Airbus sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran bagi model A330neo dan A350.
Pada masa ini, Airbus sedang berusaha untuk menghasilkan empat A330neo setahun, manakala pengeluaran bagi A350 akan ditingkatkan sehingga 10 pesawat setahun menjelang 2026 dan 12 pesawat pada 2028, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial