EKONOMI

Program Matrade Berakhir Dengan Jayanya Di Semicon Sea 2024

01/06/2024 01:04 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berakhir dengan jayanya di acara SEMICON Asia Tenggara (SEA) 2024 di sini.

Selain itu, Malaysia menjadi perhatian dalam kalangan pemain serantau utama dalam industri semikonduktor pada acara tersebut.

MATRADE dan rakan kongsi strategiknya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) bekerjasama dalam menjalankan pelbagai program sesi libat urus di Pavilion Penyumberan Malaysia, memudahkan mesyuarat dan pembentangan perniagaan dengan rakan kongsi asing untuk memanfaatkan peluang eksport dunia.

“Penggiat global daripada industri semikonduktor berminat untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia bagi mengembangkan pangkalan pembekal mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menerima pengunjung yang ramai dari 28-30 Mei, Pavilion Penyumberan Malaysia menampilkan 25 syarikat teknologi dengan kecekapan yang pelbagai dalam robotik, automasi kilang, teknologi dron, teknologi kesihatan dan kenderaan autonomi.

Sebanyak 25 syarikat asing dari Taiwan, China, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Bangladesh, Jerman, Lubnan, Hong Kong dan Afrika Selatan berdaftar dalam edisi INSP tahun ini termasuk 10 daripada mereka yang menyertai secara maya.

Secara keseluruhan, 196 mesyuarat perniagaan telah berlangsung sepanjang acara tiga hari antara syarikat Malaysia dan peserta dari luar negara, menghasilkan RM331.21 juta urus niaga perniagaan.

Antara produk dan perkhidmatan yang diperoleh termasuk sarung tangan bilik bersih, mesin dan peralatan untuk industri semikonduktor, peralatan ujian automatik (ATE), bahagian dan komponen ketepatan, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), integrasi sistem untuk automasi kilang, kabel dan wayar harness serta storan tenaga bateri sistem (BESS).

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata pakatan strategik MATRADE dengan MIDA, MDEC dan MRANTI pada tahun ini adalah tepat pada masanya dalam usaha mengukuhkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan elektrik dan elektronik (E&E) global.

“MATRADE akan terus merapatkan hubungan syarikat Malaysia dalam sektor E&E dengan rakan kongsi asing melalui pelbagai inisiatif seperti ini,” katanya.

Diadakan buat kali kesembilan berturut-turut sejak 2015, INSP@SEMICON SEA merupakan inisiatif berimpak tinggi dan kos efektif, terbukti dapat menghubungkan syarikat Malaysia dalam ekosistem industri E&E kepada syarikat pembuatan semikonduktor dunia dan syarikat peralatan antarabangsa yang terkemuka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata MDEC dengan kerjasama MATRADE dan MRANTI, mempamerkan 15 syarikat teknologi Malaysia cemerlang di Pavilion Penyumberan Malaysia di SEMICON SEA 2024.

“Kerjasama ini mencontohi semangat usaha strategik nasional Malaysia Digital, membolehkan persekitaran di mana pengetahuan kolektif memacu tindak balas pantas terhadap trend baru muncul dan transformasi digital membuka prospek pembangunan serta inovasi yang tiada tandingan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata penyertaan MRANTI di SEMICON SEA 2024 bukan sekadar mempamerkan kemajuan terkini tetapi lebih daripada itu.

“Kami telah menunjukkan cara kami fokus pada teknologi utama seperti DroneTech, Robotik, Teknik Kesihatan dan Kenderaan Autonomi benar-benar mengubah masa depan semikonduktor.

"Sebagai tempat ujian nasional Malaysia untuk inovasi 5G, kami memanfaatkan penyelesaian termaju ini untuk meningkatkan ketersambungan dan automasi, ia membantu memacu industri maju ke hadapan'," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan