PUTRAJAYA, 31 Mei (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) merampas 62 jenis produk kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dianggarkan bernilai RM1 juta.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan rampasan itu dilakukan JKNS melalui tindakan pemeriksaan yang dijalankan bersama cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Selangor pada 9 Mei lepas.
“Tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan secara dalam talian produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM itu dilaksanakan berikutan aduan orang awam yang diterima,” menurut kenyataan itu.
Menurut KKM siasatan awal mendapati penjualan produk tidak berdaftar itu dijalankan oleh sebuah syarikat asing yang beroperasi di luar negara.
Kenyataan itu memaklumkan modus operandi yang digunakan syarikat asing itu melibatkan syarikat pengendali hab logistik tempatan yang dijadikan sebagai lokasi simpanan dan pengedaran produk tidak berdaftar kepada pengguna di Malaysia.
“Syarikat berkenaan menggunakan platform e-dagang sebagai medium penjualan produk kepada pengguna,” menurut KKM.
Menurut kenyataan itu penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952.
Peraturan itu memperuntukkan hukuman denda hingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda hingga RM50,000.
Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai yang membuat pembelian produk kesihatan secara dalam talian agar memastikan produk tersebut mempunyai pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran produk (MAL).
Menurut KKM status pendaftaran produk boleh disemak menerusi laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan Product Status atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-7883 5400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial