AM

Pesta Kaamatan Signifikan Martabatkan Warisan, Kebudayaan Dan Kesenian Sabah - Hajiji

31/05/2024 04:54 PM

PENAMPANG, 31 Mei (Bernama) -- Sambutan Pesta Kaamatan amat signifikan dalam usaha kerajaan Sabah untuk memartabatkan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan Sabah akan melaksanakan beberapa program pembangunan komuniti bagi memastikan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan dapat dipertahankan untuk generasi akan datang.

Beliau berkata program itu termasuklah meningkatkan produk pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Tenom, dan memperkasakan Cultural Pit-Stop (CPS) di Tawau, Kota Belud, Sandakan, Tenom, Ranau dan Keningau.

“Langkah memartabatkan warisan itu penting menyedari bahawa kekayaan tradisi budaya dalam kepelbagaian etnik merupakan aset penting terutama dalam sektor pelancongan yang perlu terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang.

"Sebab itu, kerajaan negeri amat menyokong usaha mengembangkan dan mempertahankan budaya serta kesenian setiap etnik menerusi persatuan masing-masing agar warisan budaya berharga ini berkekalan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzli, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Sementara itu, Hajiji berkata usaha kerajaan negeri menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah merupakan inisiatif penting meningkatkan pengeluaran serta keselamatan makanan negeri, selain  memberi penekanan kepada pembangunan padi tanah kering atau padi bukit tahun ini.

“Jabatan Pertanian Sabah juga mempunyai sebanyak 404 koleksi akses (padi tanah kering) yang mampu membantu usaha ini,” katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan