EKONOMI

Untung Bersih Alliance Bank Naik Kepada Rm690.48 Juta Bagi Tahun Kewangan 2024

30/05/2024 09:18 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Alliance Bank Malaysia Bhd meningkat kepada RM690.48 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024, berbanding RM677.85 juta bagi tahun kewangan 2023, dipacu oleh peningkatan hasil dan pengurangan elaun bagi kerugian kredit yang dijangkakan.

Hasil naik kepada RM2.02 bilion daripada RM1.92 bilion sebelum itu, kata bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

"Pendapatan faedah bersih menyaksikan peningkatan yang ketara sebanyak RM67.5 juta, atau 4.1 peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan pertumbuhan pinjaman yang meningkat dan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR). Margin faedah bersih (NIM) pula mencecah 2.48 peratus,” katanya.

Alliance Bank berkata hasil sebanyak RM2.02 bilion bagi tahun kewangan 2024 itu berikutan peningkatan dalam kedua-dua pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII).

"Sementara itu, pertumbuhan 15.1 peratus tahun ke tahun NOII (tidak termasuk pembrokeran) kepada RM300.2 juta didorong oleh pendapatan pengurusan kekayaan yang lebih tinggi, yuran pertukaran asing dan yuran perkhidmatan perbankan. Nisbah kos kepada pendapatan bagi tahun itu ialah pada 48.2 peratus," katanya.

Bank itu berkata jumlah pinjaman kasarnya melonjak 13.6 peratus kepada RM55.7 bilion, melebihi pertumbuhan industri sebanyak 6.0 peratus.

Prestasi yang stabil juga dapat dilihat menerusi pertumbuhan merentasi semua segmen, seperti perusahaan kecil dan sederhana, komersial, korporat, dan pengguna dengan masing-masing meningkat sebanyak 15.8 peratus, 13.8 peratus, 13.0 peratus, dan 12.5 peratus, tahun ke tahun.

Bank itu berkata nisbah akaun semasa dan simpanannya (CASA) kekal antara yang tertinggi dalam industri pada 41.6 peratus, didorong oleh peningkatan 12.9 peratus tahun ke tahun dalam deposit pelanggan. 

Kedudukan mudah tunai Alliance Bank juga berdaya tahan, dengan nisbah perlindungan sebanyak 156.8 peratus dan nisbah pinjaman kepada dana sebanyak 87.0 peratus.

Menjelang tahun kewangan 2025, kumpulan perbankan itu menjangka ia mampu mengekalkan prestasi kewangannya yang positif dan terus komited untuk merealisasikan objektif pertumbuhan di bawah rancangan Acceler8, dalam usaha mengembangkan lagi bahagian pasarannya pada tahun fiskal akan datang.

Alliance Bank mencadangkan dividen interim kedua sebanyak 11.45 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen kepada 22.3 sen sesaham untuk jumlah nisbah pembayaran dividen 50 peratus, yang akan dibayar pada 28 Jun 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan