SUKAN

SAYA TAK RASA ORANG PANDANG SAYA DI PENANG FC - MUHAMMAD ADIB

30/05/2024 10:20 PM

PETALING JAYA, 30 Mei (Bernama) -- Pemain pertahanan kiri Penang FC Muhammad Adib Abdul Ra’op yang buat julung kali dipanggil ke kem latihan pusat pasukan negara tidak menyangka kelibatnya telah lama dipantau Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon.

Muhammad Adib yang sangat teruja dengan pengalaman baharu dilaluinya bersama pasukan negara berkata selama ini beliau hanya bermain untuk Penang FC tanpa mengetahui persembahannya berjaya menarik minat Pan Gon.

“Saya tak sangka (diperhatikan Pan Gon) sebab saya rasa saya cuma bermain di Penang FC, saya tak rasa orang pandang saya. Apa yang penting (kini) saya kena buat terbaik,” katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pan Gon berkata beliau sudah mengikuti rapat perkembangan Muhammad Adib sejak semusim lalu, selain menyifatkan pemain berusia 25 tahun itu mempunyai kelebihan tersendiri yang diperlukan pasukan.

Pada masa sama, Muhammad Adib yang turut mampu bermain di posisi sayap enggan mensia-siakan peluang keemasan ini untuk merebut tempat dalam skuad akhir dan cuba meraih penampilan antarabangsa pertama.

“Kalau dia (Pan Gon) bagi peluang sekarang saya kena ambil peluang itu dan saya kena pegang terus peluang itu, saya terus kena tunjuk yang umur 25 saya kena tunjuk lah sebab ramai pemain lagi muda daripada saya dah main dengan pasukan negara,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pemain Perak FC itu mengakui sangat berbangga apabila mengetahui namanya tersenarai dalam kem latihan pusat kali ini.

“Saya sangat gembira dengan berita itu, saya rasa ini semua berkat doa ibu bapa, kawan-kawan, pasukan. Saya (juga) patut ucap terima kasih kepada Kim Pan Gon kerana nampak saya.

“Mak dan ayah sangat bangga, mereka tak pernah sangka benda ini, tapi mereka kata (pesan) usaha, doa dan solat jangan tinggal,” katanya.

Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov di Bishkek pada 6 Jun, sebelum menutup kempen saingan Kumpulan D dengan menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.

Selepas empat perlawanan, Malaysia berada di posisi ketiga kumpulan dengan enam mata sementara Kyrgyzstan sebagai pendahulu, berkongsi sembilan mata dengan Oman di tempat kedua manakala Taiwan tercorot tanpa mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan