AM

IPTA DICADANG BUKA CAWANGAN DI CHINA, GALAK PERKONGSIAN PENYELIDIKAN

30/05/2024 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Institut pengajian tinggi awam (IPTA) dicadang agar mula merancang penubuhan cawangan universiti masing-masing di China, kata Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University (BFSU) Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Beliau berkata ia bagi membuka jalan kepada perkongsian penyelidikan dan pertukaran sarjana antara kedua-dua negara agar dapat mewujudkan penyelidikan terarah khususnya dalam melihat perbandingan antara tamadun China dan Melayu. 

“Perlu kita ada cawangan universiti di China supaya kita dapat mewujudkan pakatan sinergi antara pakar pelbagai bidang IPT di negara kita, membuat kajian perbandingan dengan makna saling memahami kebudayaan tamadun China, Melayu dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Hubungan Tamadun Melayu-China: Perspektif Sejarah dan Perkembangan Semasa” dalam Seminar Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Bangunan Parlimen hari ini. 

Seminar tersebut dirasmikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed.

Menurutnya ketika ini terdapat beberapa IPTA sudah mula bergerak ke arah itu antaranya Universiti Malaya (UM) yang difahamkan akan menubuhkan sebuah cawangan di negara itu hujung tahun ini selain Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata antara aspek penyelidikan yang boleh diterokai ialah sistem nilai, falsafah, teknologi, pemikiran, pandangan sarwa, seni, bahasa, seni bina dan lain-lain dengan menggunakan pendekatan kajian perbandingan antara alam Melayu dengan China untuk menghasilkan persefahaman lebih mendalam antara kedua-dua pihak.

Awang Sariyan berkata langkah pembukaan kampus di China juga dilihat sebagai timbal balik bagi pembukaan kampus Xiamen University Malaysia (XMUM) di Nilai, Seremban, iaitu kampus cawangan luar negara pertama universiti China yang berprestij.

Selain Awang Sariyan, seminar berkenaan turut menyaksikan pembentangan kertas kerja oleh Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia Datuk Goh Hin San bertajuk “Peranan Yi Jing Dalam Hubungan Tamadun Melayu-China.”

Seminar dianjur Kelab Senator Dewan Negara itu bertujuan mengetengahkan sejarah, perkembangan semasa dan harapan masa hadapan hubungan diplomatik kedua-dua buah negara dan dihadiri mahasiswa, penjawat awam serta ahli-ahli Dewan Negara. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan