AM

SIBS 2024 BAKAL DIANJURKAN DALAM DUA SIRI PADA JULAI DAN OKTOBER

30/05/2024 08:08 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2024 (SIBS 2024) kali kelapan buat julung kalinya bakal dianjurkan dalam dua siri iaitu pada 25 hingga 27 Julai dan 16 hingga 19 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Selangor Ng Sze Han berkata penganjuran SIBS 2024  bakal menyaksikan lima komponen aktiviti diadakan di bawah satu bumbung iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor Makanan dan Minuman (F&B), Selangor Life Sciences Convention (SLC), Ekspo Pelaburan dan Taman Perindustrian Selangor (SPARK), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) dan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital (SDEC).

“Ekspo Pelaburan dan Taman Perindustrian Selangor dan SABC akan diadakan pada siri pertama SIBS 2024 dari 25 hingga 27 Julai manakala F&B, SLC dan SDEC dianjurkan pada siri kedua dari 16 hingga 19 Okt,” katanya selepas menjadi tetamu program 'The Nation' terbitan Bernama TV hari ini.

Bertemakan “Selangor Gateway to ASEAN”, SIBS 2024 bertujuan meletakkan Selangor sebagai pusat perdagangan antarabangsa di rantau ini serta menyediakan platform kepada perniagaan kecil dan sederhana serta syarikat multinasional untuk mewujudkan peluang perkongsian dengan mengiklankan barangan serta perkhidmatan mereka.

“Kami mempelawa (komuniti perniagaan) dari seluruh rantau ASEAN menyertai SIBS 2024. Kami melihat (pelabur ASEAN) sebagai rakan kongsi perniagaan dan jika anda melabur di Selangor bermakna anda juga melabur di ASEAN," katanya.

“Terdapat lebih banyak reruai untuk SIBS 2022, contohnya, F&B akan mempunyai lebih 500 reruai berbanding 300 sebelum ini. Untuk Ekspo SPARK, tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 400 reruai," katanya.

Ng berkata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menetapkan sasaran RM7 bilion urus niaga untuk SIBS 2024, meningkat daripada RM6.12 bilion yang dicatatkan tahun lepas.

“Program SIBS 2024 dijangka menarik pelawat perdagangan dalam dan luar negara. Berdasarkan rekod pada 2023, penganjur menjangkakan 65,000 pelawat perdagangan pada tahun ini berbanding 57,000 pada tahun lepas,” katanya.

Beliau menambah SIBS 2024 juga akan memperkenalkan dua program baharu iaitu Industri Kreatif ASEAN (IKA) dan Malaysian Chinese Entrepreneur Conference (MCEC) bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan