AM

Ulama Indonesia, Malaysia Dicadang Adakan Perbincangan Tahunan Isu Umat Serantau

30/05/2024 07:01 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

PETALING JAYA, 30 Mei (Bernama) -- Golongan ulama di Indonesia dan Malaysia dicadangkan supaya  mewujudkan sesi perbincangan secara berkala bagi bertukar-tukar fikiran dan meneroka peluang kerjasama dalam menangani cabaran semasa di rantau ini. 

Mantan Ketua Umum Nahdlatul Ulama Indonesia Prof Dr Kiai Said Aqil Siraj berkata sesi perbincangan di antara golongan ulama di kedua-dua negara ini adalah penting kerana Islam bukan hanya dari segi akidah dan ibadah semata-mata tetapi meliputi  kebersamaan dan membina kerjasama dalam menjalankan perintah agama.

“Harus ada sesi perbincangan berkala di antara golongan ulama di Indonesia dan Malaysia supaya kedua-duanya saling berkunjung untuk berdiskusi, tukar fikiran, bekerjasama dalam pola fikir, persepsi  dan cara pandang.

“Cabaran di hadapan golongan ulama di Indonesia dan Malaysia adalah sama iaitu radikalisme, terrorisme,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) di sini hari ini.

Said sebelum itu menyampaikan syarahan umum bertajuk "Peranan ulama dalam memperkukuh hubungan Malaysia-Indonesia melalui fahaman kesederhanaan dalam Islam".

Mengulas mengenai hubungan di antara golongan ulama di Indonesia dan Malaysia beliau berkata ia berada pada tahap baik dari dulu sehingga sekarang dan keadaan ini diharapkan berterusan. 

Ulama di Indonesia dan Malaysia mempunyai latar belakang dan prinsip yang sama iaitu fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan memperjuangkan kemajuan Islam di Nusantara dengan cara damai dengan tidak ada radikal, katanya. 

Beliau berkata golongan ulama memainkan peranan yang sangat besar  kepada pembangunan sesebuah negara iaitu membawa perdamaian dan fahaman antikekerasan serta antiekstrem. 

Terdahulu dalam syarahan umumnya Said berkata antara cabaran golongan ulama masa kini ialah menangani pemikiran liberal dalam kalangan anak muda yang menganggap pegangan agama adalah satu cara hidup kuno yang membosankan. 

Beliau turut berpendapat penglibatan ulama dalam barisan pemimpin politik negara adalah tidak penting sebaliknya golongan ulama perlu mampu membentuk masyarakat yang soleh dari peringkat presiden sehingga tukang sapu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan