EKONOMI

DUTCH LADY RASMI HAB PEMBUATAN BAHARU BABITKAN PELABURAN RM540 JUTA

30/05/2024 06:05 PM

SEREMBAN, 30 Mei (Bernama) -- Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) hari ini merasmikan hab pembuatan halal baharu di Bandar Enstek di sini yang melibatkan pelaburan sebanyak RM540 juta.

Pengarah Urusan Ramjeet Kaur Virik berkata kemudahan pembuatan itu, yang dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun ini disepadukan dengan teknologi Industri 4.0 untuk memenuhi permintaan di pasaran Malaysia dan serantau bagi jangka panjang.

Beliau berkata kemudahan itu, yang terletak di hab halal di sini, adalah tiga kali lebih besar daripada kemudahan DLMI di Petaling Jaya, Selangor dan akan menggandakan kapasiti untuk pertumbuhan masa depan sebaik sahaja beroperasi sepenuhnya.

“Kami juga bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) serta kerajaan negeri.

“Hab pembuatan dengan kapasiti eksport ini akan memperkenalkan kemahiran-kemahiran baharu yang relevan kepada generasi baharu rakyat Malaysia untuk merangsang peluang baharu bagi pertumbuhan dari segi inovasi, peningkatan kecekapan dan kemampanan,” katanya di majlis perasmian di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir merasmikan hab pembuatan itu.

Ramjeet juga berkata pelaburan besar di Negeri Sembilan itu adalah komitmen kukuh ke arah membina perkongsian awam-swasta dalam jangka panjang untuk membantu meningkatkan sektor tenusu Malaysia khususnya dalam pengeluaran susu mentah serta menangani malnutrisi dalam kalangan masyarakat.

Beliau menambah sebagai sebahagian daripada FrieslandCampina di Belanda, DLMI@Enstek akan menjadi hab kritikal dalam rangkaian rantaian bekalan global FrieslandCampina dan pada masa yang sama, menunjukkan keyakinan syarikat terhadap peluang ekonomi masa kini dan masa depan di Malaysia.

“Ini adalah komitmen kuat kami untuk membina negara dan juga untuk menerima dengan pantas teknologi makanan terkini yang setanding dengan amalan terbaik global,” katanya.

Beliau berkata kilang pembuatan DLMI baharu itu juga akan meningkatkan daya saing Negeri Sembilan sebagai magnet bagi pelaburan baharu dan seterusnya membantu mewujudkan faedah ekonomi sampingan baharu kepada ekonomi tempatan.

Hubungan kuat kepakaran tenusu Belanda, mengukuhkan lagi peranan DLMI sebagai peneraju industri tenusu di negara ini, tambahnya.

Sementara itu, Tuanku Muhriz bertitah pelaburan tersebut adalah simbol cita-cita berani DLMI untuk menyuburkan generasi dengan produknya yang berkualiti tinggi, mampan dan disahkan halal serta baginda berharap kemudahan pembuatan baharu itu akan membawa kejayaan dan kemakmuran yang berterusan.

“Bagi pihak rakyat Negeri Sembilan, beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada DLMI pada majlis yang bertuah ini dan menyampaikan penghargaan kami kepada kedua-dua pihak berkepentingan iaitu kerajaan Negeri Sembilan dan Persekutuan, yang memberi sokongan padu dan usaha berdedikasi dalam memainkan peranan penting bagi menjayakan projek transformatif ini.

“Ketika kita memulakan era baharu kecemerlangan tenusu melalui DLMI@Enstek, beta penuh yakin terhadap peluang tanpa sempadan yang menanti di hadapan,” titah Tuanku Muhriz.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan