EKONOMI

Kerjasama Lpnm-sarawak Sasar Jadikan Bumi Kenyalang Pengeluar Terbesar Nanas Negara

30/05/2024 06:05 PM

KUCHING, 30 Mei (Bernama) -- Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menjalinkan kerjasama dengan Sarawak bagi memastikan negeri ini mencapai pertumbuhan 14 peratus keluasan tanaman nanas setiap tahun bagi merealisasikan sasarannya mencapai 20,000 hektar kawasan penanaman menjelang akhir 2030.

Pengerusi LPNM Sheikh Umar Bagharib Ali berkata sekiranya Sarawak dapat mencapai sasaran berkenaan, negeri itu bakal mengatasi Johor sebagai pengeluar nanas terbesar negara menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),

“Kita akan menyalurkan apa jua bentuk bantuan untuk capai inisiatif ini dan untuk RMK-13, kita sudah pasti akan melihat penambahan peruntukan untuk membantu Sarawak mencapai sasaran 20,000 hektar tanaman nanas. 

“LPNM masuk ke Sarawak pada 2010 dan pada ketika itu hanya ada pekebun kecil-kecilan tanpa bimbingan teknikal bagi tanaman nanas, jadi sekarang ini ada 2,288 hektar iaitu lebih kurang tujuh peratus pertambahan setiap tahun sejak 2010,” katanya.

Beliau kepada demikian pemberita ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.

Sheikh Umar berkata sejak beroperasi di Sarawak LPNM sentiasa komited memberi bimbingan kepada pekebun kecil tempatan, selain menggalakkan pemain industri terlibat dalam industri nanas negeri. 

Setakat 2022, Johor mencatatkan keluasan tanaman nanas sebanyak 11,398 hektar diikuti Sarawak (2,288 hektar) dan Pahang (1,361 hektar).

Pada 2023, nilai eksport nanas negara berjumlah RM5.75 bilion merangkumi pelbagai produk berasaskan tanaman itu dengan Singapura merupakan negara pengimport terbesar iaitu sebanyak 66 peratus. 

Sementara itu beliau berkata, pertemuan delegasi LPNM bersama Premier Sarawak turut membincangkan mengenai potensi pembangunan tanaman nanas di negeri ini  dan inisiatif yang perlu digerakkan bagi memperkukuh industri, antaranya dengan mengadakan kerjasama bersama institut pengajian tempatan, Kolej Universiti i-CATS (iCats) bagi program penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

“Untuk itu, LPNM dan iCATS telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk melihat potensi dan kerjasama, khususnya dalam bidang R&D melibatkan industri nanas serta melihat kajian yang boleh kita laksanakan bersama,” katanya.

Majlis permeteraian MoU berkenaan yang berlangsung sebelum sesi kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak telah disaksikan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah (Industri Makanan) Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail. 

Sheikh Umar berkata sebagai simbolik kepada majlis MoU itu, sesi pertukaran dokumen dilakukan dengan Abang Johari selaku Canselor iCATS di pejabat Premier. 

Turut hadir, Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh dan Naib Canselor iCATS Dr. Shahren Ahmad Zaidi Adruce. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan