EKONOMI

Untung Bersih Suku Ketiga Hong Leong Bank Naik Kepada Rm1.04 Bilion

30/05/2024 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Hong Leong Bank Bhd (HLB) bagi suku ketiga berakhir 31 Mac, 2024 melonjak kepada  RM1.04 bilion daripada RM929.96 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil naik kepada RM1.44 bilion daripada RM1.40 bilion sebelum itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, HLB berkata pendapatan faedah bersih tumbuh kepada RM1.18 bilion bagi suku dalam tinjauan, disokong oleh pengembangan pembiayaan/pinjaman yang kukuh dan pengurusan kos pembiayaan yang cekap.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2024, keuntungan bersih HLB meningkat 7.1 peratus kepada RM3.16 bilion daripada RM2.95 bilion dalam tempoh yang sama sebelumnya, disumbangkan oleh pertumbuhan pinjaman/pembiayaan yang kukuh, pengurusan kos yang cekap  dan sumbangan yang kukuh daripada sekutunya.

“Oleh itu, ia memberikan pulangan ke atas ekuiti (ROE) yang membanggakan sebanyak 12.0 peratus,” kata bank itu.

Hasil bagi sembilan pertama bagi tahun kewangan 2024 bagaimanapun susut kepada RM4.29 bilion daripada RM4.38 bilion sebelum itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan Kevin Lam berkata HLB kekal optimistik dalam keadaan berhati-hati terhadap prospek perniagaan dan makroekonomi untuk baki tahun kewangan 2024, kerana ia menumpukan pada pelaksanaan strategi perniagaannya untuk memberikan hasil yang mampan kepada pihak berkepentingan.

“Dengan itu, kami gembira dengan prestasi asas untuk sembilan bulan ini, yang diterajui oleh pertumbuhan pinjaman/pembiayaan yang mampan, kualiti aset yang sihat, yang diperkukuh dengan pembiayaan berhemat dan kedudukan mudah tunai,” katanya.

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, syarikat induk HLB, Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG), mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM818.07 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024 daripada RM735.97 juta daripada suku yang sama pada tahun kewangan 2023, manakala hasil meningkat kepada RM1.70 bilion pada suku dalam tinjauan berbanding RM1.64 bilion sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan