EKONOMI

Agricore Sasar Kumpul Rm26 Juta Daripada Ipo

30/05/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Pembekal bahan makanan Agricore CS Holdings Bhd menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM26 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraian di Pasaran ACE, Bursa Malaysia pada 21 Jun, 2024.

Syarikat itu bercadang untuk menggunakan RM18.9 juta (74 peratus) daripada dana yang dikumpul menerusi IPO itu untuk mengembangkan perniagaan penyumberan dan pengedarannya dengan meningkatkan tahap inventori di kemudahan di Bukit Minyak, Pulau Pinang dan kemudahan penyimpanan serantau yang baharu di Klang, Selangor.

 Pengerusinya Fu Yew Sun berkata IPO itu membolehkan syarikat itu mengatur perancangan dan strategi untuk memenuhi permintaan terhadap produknya yang semakin meningkat.

“Kami menyasarkan untuk menubuhkan kemudahan penyimpanan serantau baharu di Klang, yang akan meningkatkan kira-kira 30,000 kaki persegi kapasiti storan tambahan, bagi meningkatkan kecekapan penghantaran produk kami kepada pelanggan di Wilayah Tengah dan Selatan Semenanjung Malaysia.

“Selain itu, dengan mempunyai kemudahan penyimpanan serantau ia membantu kami menjimatkan kira-kira RM700,000 setahun dalam kos logistik dan pengangkutan setiap tahun,” katanya pada pelancaran prospektus syarikat itu hari ini.

Sementara itu, Agricore dalam satu kenyataan berkata ia menerbitkan 51.7 juta saham baharu, mewakili 25.5 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan pada harga terbitan RM0.50 sesaham.

“Daripada 51.7 juta saham baharu, 10.1 juta saham baharu akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian dan 10.1 juta saham baharu untuk pengarahnya yang layak, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

“Di samping itu, 25.4 juta saham baharu akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala baki 6.1 juta saham baharu akan diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih,” katanya.

Ia berkata berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 202.8 juta saham, Agricore dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM101.4 juta selepas penyenaraian.

IPO itu dibuka untuk langganan mulai hari ini hingga 7 Jun 2024 dan M & A Securities Sdn Bhd adalah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan