AM

China Sedia Perhalusi 11 Perkara Termasuk Tvet, Industri Halal Dibangkitkan Malaysia

30/05/2024 04:06 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

BEIJING, 30 Mei (Bernama) -- Dalam kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China Li Qiang di Vila 12, Rumah Tamu Negara Diaoyutai, di sini semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyentuh 11 perkara yang merangkumi pelbagai aspek, kata Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Beliau berkata kesemua 11 perkara yang dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri dalam pertemuan itu menerima maklum balas positif daripada Li Qiang, antaranya berkaitan kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta industri halal.

Malah katanya Kerajaan China telah menyatakan kesediaan untuk memperhalusi setiap perkara dan isu yang dibangkitkan oleh Kerajaan Malaysia bagi manfaat bersama.

Berhubung kerjasama TVET, beliau berkata Ahmad Zahid mengalu-alukan sebarang cadangan dari China untuk membantu Malaysia dalam bidang berkenaan memandangkan ketika ini tumpuan program mobiliti TVET antara kedua-dua negara lebih terarah kepada penglibatan pensyarah serta ahli akademik.

“Seperti dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri semalam, sebelum ini China memutuskan untuk beri 2,000 kuota kepada pengambilan pelajar Malaysia (mengambil latihan TVET di China) namun semasa perbincangan dengan Li Qiang semalam, pihak China telah menaikkan (kuota) sebanyak 3,125 menjadikan jumlahnya 5,125 kuota.

“Ini bukan kerjasama hanya antara kerajaan dan kerajaan, tetapi juga melibatkan pihak lain seperti Majlis Amanah Rakyat menerusi anak syarikatnya dan juga badan-badan lain di China,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Berhubung industri halal, Norman berkata Ahmad Zahid menyatakan hasrat kepada Kerajaan China untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam industri berkenaan termasuk bagi sektor makanan halal serta bukan makanan seperti kosmetik dan farmaseutikal.

Beliau berkata antara perkara lain yang disentuh Timbalan Perdana Menteri adalah komitmen kerajaan untuk menjadikan China sebagai model dalam usaha membanteras kemiskinan tegar di Malaysia.

“Malaysia komited meneladani China dalam usaha kearah meningkatkan taraf hidup rakyat dalam mencapai pembangunan mampan. Ini adalah satu isu yang kita nak belajar, bagaimana China membanteras kemiskinan tegar kerana ia antara kejayaan China, yang dapat mengurangkan jurang kemiskinan amat besar berbanding abad sebelum ini,” katanya.

Ahmad Zahid kini dalam lawatan rasmi pertama ke China sejak beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan lawatan itu adalah atas jemputan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974 dan ini merupakan lawatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan