AM

Insiden Helikopter: Keluarga Faisol Reda Terima Hasil Laporan Siasatan

30/05/2024 03:15 PM

SIK, 30 Mei (Bernama) -- Keluarga salah seorang mangsa yang terkorban dalam nahas membabitkan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak April lepas, berlapang dada serta menerima laporan akhir siasatan yang dikeluarkan hari ini dengan reda.

Noryani Tamadun, 50, yang merupakan kakak sulung kepada Allayarham Pegawai Waran II, Muhammad Faisol Tamadun, 36, berkata beliau sudah membaca laporan penuh berhubung insiden berkenaan pagi tadi.

"Saya dah baca laporan itu. Sama seperti laporan awal yang dikeluarkan sebelum ini, saya sekeluarga menerimanya dengan reda. Saya anggap apa yang berlaku itu sebagai kehendak dan ketentuan Allah dan kita perlu banyak bersabar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Allahyarham Muhammad Faisol yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik berasal dari Kampung Tanah Hitam di sini, meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan.

Dalam tragedi 23 April lepas 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) serta tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terbabit insiden semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, dan laporan lembaga siasatan insiden itu dikeluarkan hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan