EKONOMI

Bdb Catat Prestasi Kewangan Terbaik Dalam Tempoh Tujuh Tahun

30/05/2024 03:20 PM

ALOR SETAR, 30 Mei (Bernama) -- Bina Darulaman Berhad (BDB) mencatatkan prestasi cemerlang pada tahun kewangan 2023 dengan memperoleh pendapatan sebanyak RM313.1 juta, perolehan tertinggi sejak 2016.

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB Raja Shahreen Raja Othman berkata pencapaian itu turut menyaksikan BDB mencatatkan pendapatan lebih RM300 juta buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun.

“Ini sekali gus menunjukkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 35.3 peratus berbanding RM231.4 juta pada tahun kewangan 2022.

“Segmen kejuruteraan, pembinaan dan kuari merupakan penyumbang utama kepada peningkatan itu selepas mendapat manfaat penuh daripada pemulihan pandemik COVID-19 sebelum ini.

“Anak syarikat milik penuh, BDB Infra Sdn Bhd memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan negeri bernilai RM204 juta daripada kerajaan Kedah dan kontrak RM34.1 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk sistem pengairan tertier di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-29 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi BDB Che Had Dhali, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah BDB dan pengurusan kanan Kumpulan BDB.

Dalam segmen hartanah, Raja Shahreen berkata beberapa projek pembangunan telah dilancarkan di Bandar Darulaman, Jitra; Darulaman Saujana di Hosba; Aman Nusa dan Darulaman Sanctuary di Langkawi.

“Dalam tempoh itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat sebanyak 61.1 peratus kepada RM14.5 juta dipacu oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada operasi di Kuari Bukit Perak, Pendang dan Kuari Gemi Puncak, Langkawi serta sumbangan daripada projek usaha sama di Kubang Pasu dan Sungai Petani.

“Walaupun margin untung kasar menunjukkan jumlah yang lebih rendah iaitu 17.1 peratus berbanding 20.8 peratus pada tahun sebelumnya disebabkan beberapa faktor, antaranya kenaikan kos bahan dan kekurangan tenaga kerja, namun keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat sebanyak 121.4 peratus kepada RM12.4 juta,” katanya.

Mengenai perancangan syarikat bagi 2024 dan tahun seterusnya, katanya BDB kekal berhati-hati dan optimis dengan ketidakpastian pasaran, menekankan kepada kelestarian serta memberi lebih tumpuan kepada peningkatan ketahanan rantaian bekalan, kemahiran tenaga kerja dan pelaburan dalam penghasilan tenaga.

“Kita juga ada perancangan untuk membangunkan kediaman bertingkat di Kedah tetapi kita kena lihat permintaan dahulu. Kalau buat banyak-banyak tetapi tiada pembeli, kita yang rugi. Justeru, kita akan buat kajian terlebih dahulu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan