EKONOMI

BURSA MALAYSIA CATAT KENAIKAN SELEPAS GOOGLE UMUM PELABURAN DI MALAYSIA

30/05/2024 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari ini tetapi indeks utama naik selepas Google mengumumkan untuk melabur RM9.4 bilion di Malaysia.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.40 mata kepada 1,607.75 daripada 1,605.35 pada Rabu. 

Indeks barometer dibuka rendah 1.11 mata kepada 1,614.71 dan turun naik antara 1,602.32 dan 1,608.68 sepanjang sesi dagangan pagi.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 589 berbanding 473 dengan 438 kaunter tidak berubah, 913 tidak diniagakan dan 70 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 3.27 bilion unit bernilai RM2.09 bilion.

Dilaporkan bahawa pelaburan Google merangkumi pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan, di peringkat tempatan mahupun global serta program literasi kecerdasan buatan (Al) untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

Menurut Google, pelaburannya dijangka menjana lebih US$3.2 bilion (RM15.04 bilion) untuk impak ekonomi yang positif dan mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang 2030.

Malacca Securities menjangka minat belian akan berterusan dalam pusat data berikutan pelaburan yang meningkat dalam segmen ini.

“Sektor utama di bawah segmen ini termasuklah teknologi, hartanah, pembinaan, bahan binaan dan utiliti,” katanya dalam nota penyelidikan.

Firma itu turut menjangka peniaga akan memberi tumpuan kepada minggu akhir untuk pelaporan pendapatan korporat dan menilai semula syarikat dengan pertumbuhan suku ke suku yang kukuh untuk peluang membuat pembelian.

Peniaga juga akan memantau data penting seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS dan perbelanjaan penggunaan peribadi AS pada minggu ini, yang berpotensi menentukan hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) pada masa depan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing naik satu sen kepada RM9.91 dan RM4.09, IHH Healthcare meningkat tujuh sen kepada RM6.26. Tenaga Nasional berkurangan empat sen kepada RM13.16 dan CIMB merosot dua sen kepada RM6.85.

Daripada saham aktif, Kawan Renergy melonjak 15.5 sen kepada 62 sen, My EG Services menambah satu sen kepada RM1.05 dan Epicon naik empat sen kepada 35.5 sen. WCT Holdings meningkat 6.5 sen kepada 61 sen manakala Lagenda Properties berkurangan lima sen kepada RM1.12.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 8.42 mata kepada 12,252.96, Indeks FBMT 100 menambah 8.44 mata kepada 11,853.82 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 17.69 mata kepada 12,496.27.

Indeks FBM ACE jatuh 7.18 mata kepada 5,432.72 dan Indeks FBM 70 susut 25.16 mata kepada 17,617.00.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 17.14 mata kepada 17,516.17, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.39 mata kepada 195.73 dan Indeks Perladangan meningkat 6.06 mata kepada 7,150.28 manakala Indeks Tenaga merosot 12.24 mata kepada 981.65.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan