EKONOMI

Malakoff Corp Catat Keuntungan Bersih Rm38.66 Juta Pada Suku Pertama

30/05/2024 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Prestasi suku pertama Malakoff Corporation Bhd bagi tempoh berakhir 31 Mac 2024 mencatatkan keuntungan bersih RM38.66 juta berbanding kerugian bersih RM99.09 juta ringgit pada suku pertama 2023.

Perolehan lebih rendah sebanyak 0.2 peratus kepada RM2.28 bilion berbanding RM2.29 bilion pada suku yang sama tahun lepas, kebanyakannya disebabkan oleh pembayaran tenaga lebih rendah direkodkan daripada Tanjung Bin Power Sdn Bhd (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd (TBE) seiring dengan penurunan harga arang batu.

“Bagaimanapun, sebahagiannya diselaraskan oleh pembayaran tenaga lebih tinggi direkodkan daripada Segari Energy Ventures Sdn Bhd memandangkan faktor penghantaran yang lebih tinggi,” kata Malakoff dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Sementara itu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM119.78 juta pada suku semasa, peningkatan sebanyak RM204.22 juta daripada kerugian sebelum cukai sebanyak RM84.44 juta yang dilaporkan pada suku yang sama berakhir 31 Mac 2023.

"Kebanyakannya disebabkan oleh sumbangan lebih baik daripada loji TBP dan TBE, memandangkan kos purata wajaran arang batu yang lebih rendah berikutan penstabilan harga arang batu global ditambah dengan kos kewangan lebih rendah," katanya.

Mengenai prospek semasa, Malakoff akan terus meningkatkan kecekapan operasi dan menjalankan penyelenggaraan pencegahan secara berkala untuk memastikan kebolehpercayaan dan kestabilan loji kuasanya.

TBP mengalami gangguan berjadual selama 73 hari dalam tempoh dalam tinjauan sebagai sebahagian daripada kerja-kerja penyelenggaraan kumpulan itu.

Kumpulan itu berkata grid Semenanjung Malaysia mencecah paras tertinggi sebanyak 20,028 megawatt pada 29 April 2024 (seperti yang dilaporkan oleh pengendali sistem grid), menunjukkan peningkatan permintaan dan keperluan untuk penghantaran yang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan tenaga.

"Usaha penyahkarbonan Malakoff sedang dijalankan dengan baik kerana projek pembakaran bersama biojisim TBP yang telah dikenal pasti sebagai projek pemangkin utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), ia merupakan kemajuan yang ketara," katanya.

Menurut Malakoff, kerja-kerja pemasangan dan aktiviti pengujian dan pentauliahan sistem pembakaran bersama biojisim dua peratus telah selesai pada 8 Mac 2024, justeru pengoperasian penuh sistem itu bermula pada 1 April 2024.

“Nisbah pembakaran bersama biojisim akan meningkat secara beransur-ansur kepada tiga hingga lima peratus menjelang tahun depan, dengan sasaran mencapai sekurang-kurangnya 15 peratus menjelang tahun 2027,” katanya.

Berdasarkan perkembangan sebelumnya, kumpulan menjangkakan prestasi keseluruhan akan kekal memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan