EKONOMI

Pelaburan Google Rm9.4 Bilion Beri Nilai Tambah Untuk Guru Dan Murid - Kpm

30/05/2024 02:36 PM

PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) -- Pelaburan Google berjumlah US$2 bilion (RM9.4 bilion) akan memberikan nilai tambah kepada usaha mempertingkatkan program celik kecerdasan buatan (AI) bagi manfaat murid dan guru, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM yang menyambut baik pengumuman Google memaklumkan pelaburan itu juga dapat memenuhi keperluan perkomputeran awan yang semakin meningkat.

“Inisiatif seperti Gemini Academy dan Experience AI yang sedang berjalan bertepatan dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang bertujuan melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.

“Ini dilaksanakan menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai murid, pendidik dan pemimpin pendidikan; penyediaan infrastruktur, infostruktur dan kandungan yang berkualiti; dan penyertaan aktif rakan strategik secara bersepadu serta menyeluruh daripada peringkat prasekolah hingga lepasan menengah,” menurut KPM. 

Dalam konteks ini, kerjasama dengan peneraju teknologi seperti Google adalah penting demi pengukuhan pelaksanaan DPD serta memastikan usaha mereformasi pendidikan negara berjaya.

Google hari ini mengumumkan komitmen pelaburan RM9.4 billion di Malaysia yang merangkumi pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google untuk memenuhi permintaan semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan, di peringkat tempatan mahupun global serta program literasi AI untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan