AM

PARALLEL PATHWAY: KERTAS CADANGAN PENYELESAIAN DIBENTANG RABU INI- ZAMBRY

30/05/2024 12:04 AM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Kertas cadangan penyelesaian isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway dalam bidang pembedahan kardiotorasik akan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada Kabinet pada 5 Jun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata terdapat dua isu pokok yang perlu diberi penyelesaian iaitu pengiktirafan latihan kepakaran Parallel Pathway yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dan pendaftaran pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran Parallel Pathway dalam Daftar Pakar (National Specialist Register - NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Isu itu telah dibawa dalam mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada April lepas bagi mencari penyelesaian.

“Sebagaimana yang telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan melalui kenyataan akhbar bertarikh 2 April 2024, Akta Perubatan 1971 [Akta 50] akan dipinda bagi membolehkan beberapa masalah berbangkit dapat diselesaikan termasuk mendaftarkan pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran Parallel Pathway,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini .

Zambry berkata beliau telah diminta untuk menjelaskan kepada Kabinet sementara ketiadaan Menteri Kesihatan yang kini berada di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 (WHA77), Geneva.

Beliau berkata isu pengiktirafan pelajar kardiotorasik dan tuduhan membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan bumiputera adalah dua isu yang berbeza.

Menurutnya terdapat kumpulan yang cuba mengambil kesempatan hingga menuduh UiTM bersikap 'apartheid' sedangkan isu utama adalah tiada pengesahan dan pengiktirafan daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kepada kumpulan pelajar ini.

“Selain daripada UiTM yang sedang menjalankan Program Sarjana Sains Surgeri (Kardiotorasik), universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM) sedang dalam proses mendapatkan Perakuan Akreditasi untuk kursus ini sebelum ditawarkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata dengan usaha dan komitmen yang sedang dilakukan oleh Kerajaan MADANI, adalah diharapkan natijah penyelesaian menyeluruh akan terhasil demi kepentingan negara dan rakyat.

Pada 27 Mei lepas Zambry dilaporkan berkata isu Parallel Pathway akan diselesaikan dengan kadar segera dan satu rangka cadangan penyelesaian telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti.

Menurutnya perbincangan dengan KKM telah diadakan baru-baru ini bagi mencari penyelesaian melibatkan aspek perundangan selain isu berkaitan pengiktirafan terhadap program perubatan yang ditawarkan di universiti.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan