AM

Sabah Cadang Wujud Jalinan Hubungan Laut Antara Kudat Dan Palawan

29/05/2024 10:51 PM

KOTA KINABALU, 29 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah bercadang mewujudkan jalinan hubungan laut antara Kudat dan Palawan, Filipina bagi memulihkan ekonomi Kudat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang kemudiannya melawat Kudat bersama Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda.

“Dengan mewujudkan perkhidmatan feri, perdagangan tukar barang di Kudat boleh dipulihkan semula," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Perdagangan tukar barang akan membantu memulihkan ekonomi Kudat yang lembap, kata Hajiji, sambil menambah bahawa pembukaan pelabuhan Kudat juga mungkin menjadi tempat berlabuh bagi kapal-kapal yang belayar dari selatan Mindanao ke Labuan.

"Pada masa ini, kapal laut yang membawa barangan dari Mindanao Selatan terus ke Labuan. Jika kita membuka pelabuhan Kudat, kita boleh menggunakan laluan perkapalan Mindanao Selatan-Labuan," katanya.

Menurutnya, Pelabuhan Kudat akan mempunyai semua kemudahan yang diperlukan terutamanya pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen, Kuarantin (CIQ) dan Keselamatan.

Ketua Menteri berkata beliau juga telah membincangkan perkara itu dengan Pesuruhjaya Polis Sabah untuk melihat aspek keselamatan untuk perbincangan di Majlis Keselamatan Negeri.

Sementara itu, Hajiji berkata semua pegawai kerajaan negeri mesti memahami sepenuhnya maksud dasar "Sabah First” (Sabah Didahulukan)/

“Sabah First bermakna kita mesti mengutamakan kepentingan Sabah dalam semua usaha kita. Pelabur asing dan bukan Sabah yang ingin menubuhkan usaha niaga di sini mesti mempunyai kepentingan tempatan Sabah yang memegang 30 peratus kepentingan dalam usaha niaga itu,”katanya.

Hajiji berkata Kabinet Sabah juga telah meluluskan semakan semula Skim Pembaharuan Bandar Sembulan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Kerajaan negeri bersetuju membenarkan pemilik tanah tinggal di situ sebaik pembangunan siap dengan pampasan kewangan yang dipersetujui,” katanya.

Beliau juga mengumumkan bahawa Sabah akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini pada 16 Sept dan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew akan mempengerusikan jawatankuasa penganjur bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan