EKONOMI

Gfief Dimuktamadkan Dengan Komitmen Untuk Reformasi Kewangan Islam

29/05/2024 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) menutup persidangan dua harinya dengan kerajaan menzahirkan komitmen untuk mereformasi kewangan Islam dan ekonomi bagi memupuk pertumbuhan inklusif.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MoF) Datuk Johan Mahmood Merican mengumunkan komitmen Malaysia untuk memperbaharui kepimpinan kewangan Islam di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI.

“Saya percaya apabila kita bercakap tentang pembaharuan, ia tidak semestinya bermula dari awal tetapi perlu dilihat bagaimana kita benar-benar boleh belajar daripada apa telah pun dilaksanakan,” katanya semasa sesi penutup forum itu hari ini yang bertajuk 'Resolusi GFIEF: Tindakan Langkah Seterusnya".

Beliau juga menekankan kepentingan pembaharuan berasaskan nilai termasuk kerjasama dengan organisasi pelbagai hala bagi menarik pembiayaan sektor swasta.

"Kerajaan, sebaliknya, sentiasa bersedia untuk mengeluarkan sedikit pembiayaan bagi menyemai inovasi baharu," tambahnya.

Semasa pelancaran GFIEF semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen kerajaan terhadap inovasi kewangan Islam melalui perkongsian dan mengumumkan komitmen RM100 juta untuk meningkatkan lagi inisiatif sedemikian.

Katanya, komitmen RM100 juta itu bertujuan mendorong inisiatif tersebut dan mendedahkan rancangan memperkenalkan struktur 'wakalah bil-khadamat' dalam terbitan sukuk.

Tambahan pula, Anwar mendedahkan bahawa Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) akan melabur sehingga RM3 bilion dalam pelaburan patuh syariah melalui Dana Pemacu.

Pada permulaan forum itu, Anwar melancarkan kertas cadangan Majlis Kepimpinan MIFC (MLC) bertajuk 'Meletakkan Islam dalam Kewangan Islam,' memperjuangkan pembaharuan serta pemulihan (Islah) ekonomi dan masyarakat melalui kewangan Islam.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) bercadang untuk merealisasikan Maqasid al-Shariah dalam pembaharuan struktur ekonomi serta kelestarian, selain memajukan inovasi dalam perdagangan dan wakaf sebagai pemangkin bagi memperkukuh model sosio-ekonomi yang inklusif dan berdaya tahan.

Bank pusat itu juga mencadangkan pengukuhan integrasi global untuk memacu pembangunan ekonomi bersama serta perkongsian kemakmuran di kalangan negara Islam, termasuk melalui peningkatan perdagangan intra dalam Pertubuhan Kerjasama Islam.

Awal hari ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan bahawa ia sedang melaksanakan langkah konkrit untuk menyokong agenda kemampanan negara serta mengukuhkan Malaysia sebagai hab Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) serantau.

SC juga akan melancarkan Bursa Sosial, yang pertama seumpamanya di ASEAN, menjelang akhir tahun ini, dengan pendaftaran untuk bursa itu dijadualkan berlaku pada suku pertama 2025.

Forum dua hari itu diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur telah menarik 2,300 penggubal dasar, peneraju industri dan pengamal dari 75 negara. Ia bertujuan membuka kunci kuasa transformatif ekonomi dan kewangan Islam.

Di bawah naungan MoF, GFIEF telah dianjurkan oleh BNM dengan kerjasama SC, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa, Bank Pembangunan Islam, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam dan Kumpulan Bank Dunia.

— BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan