EKONOMI

Pertimbang Dana Padanan Singapura Bagi Hab Semikonduktor Js-sez

29/05/2024 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Malaysia perlu memperuntukkan sebahagian daripada sokongan fiskal RM25 bilion untuk menjayakan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan mendapatkan dana padanan dari Singapura untuk pembangunan hab semikonduktor dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Ketika berkongsi saranan itu hari ini, Mantan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming berkata pelaburan bersama sedemikian akan membolehkan kedua-dua negara saling memanfaatkan kekuatan masing-masing dan memudahcara pergerakan tenaga kerja berbanding terikat dalam persaingan merebut bakat berkaitan.

Pendekatan itu, katanya, akan membolehkan aktiviti semikonduktor bernilai tinggi berkembang di wilayah selatan negara yang kini menumpukan terutamanya dalam bidang pembuatan dengan asas rendah.

“Ada banyak fasiliti perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) yang telah berpindah dari Singapura ke JS-SEZ...mungkin mereka boleh mempertimbang untuk menawarkan gaji lebih tinggi kepada rakyat Malaysia dan dapat menarik pekerja ini untuk kembali bekerja dengan syarikat ini di Malaysia," katanya dalam sesi perbincangan meja bulat pada hari kedua SEMICON Asia Tenggara 2024 di sini, hari ini.

Ong juga membayangkan mobiliti atau pergerakan bebas tanpa pasport membabitkan pekerja antara kedua-dua negara itu.

“Adalah diharapkan, usaha ini dapat diperluas melangkaui zon itu, sepertimana langkah Hong Kong dan China dengan kawasan Greater Bay, untuk turut merangkumi Pulau Pinang, Lembah Klang selain Batam dan Bintan di Indonesia. Jika Indonesia dan Thailand melihat peluang ini, pasti juga akan turut menyertainya,” katanya.

Menerusi NSS, kerajaan menyasarkan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran sebanyak 60,000 jurutera Malaysia bagi memenuhi permintaan sektor berkenaan yang terus meningkat.

Selain itu, Ong turut mencadangkan agar dimanfaatkan sepenuhnya inisiatif seperti pas lawatan sosial jangka panjang untuk penuntut antarabangsa yang telah menamatkan pengajian seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 dalam usaha mengekalkan bakat.

Sewaktu membentangkan belanjawan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu dapat menampung keperluan tenaga kerja mahir dalam pelbagai industri. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ini adalah antara tiga inisiatif baharu di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia yang sejajar dengan sumbangan sektor pelancongan dan pembuatan kepada pembangunan negara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai yakin negara mampu mencapai sasaran untuk melatih jurutera menerusi pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan. 

Beliau berkata, MSIA sendiri misalnya memerlukan tambahan sebanyak 300,000 pekerja untuk menyokong pertumbuhan industri elektrikal dan elektronik (E&E) selain mengekalkan kedudukan negara sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dengan menyasarkan eksport bernilai RM1.2 trilion menjelang 2030.

“Hari ini misalnya, kita mempunyai 612,000 pekerja dalam industri E&E. Jika jumlah itu digandakan, kita memerlukan tambahan 300,000 sebagaimana diunjurkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan