AM

Yayasan Perak, Lg Electronics Meterai Perjanjian Projek Papan Pengiklanan Digital

29/05/2024 07:01 PM

IPOH, 29 Mei (Bernama) -- Yayasan Perak, sebuah agensi pembangunan modal insan, hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan LG Electronics (M) Sdn. Bhd. (LG Electronics) melalui Syarikat MZK Resources Sdn Bhd bagi projek papan pengiklanan digital berteknologi terkini di negeri ini.

Menerusi MoU itu Yayasan Perak akan bekerjasama dengan Syarikat MZK Resources bagi pembinaan infrastruktur yang berkaitan papan pengiklanan digital melibatkan pelaburan RM40 juta dengan fasa pertama telah dikenal pasti di sekitar Bandaraya Ipoh. 

Yayasan Perak yang diwakili Pengurus Besarnya Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan bersama Pengarah Urusan LG Electronics Justin Choi serta Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat MZK Resources, Mohd Zahar Harun telah menandatangani MoU itu.

Hadir sama menyaksikan pemeteraian MoU itu Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad selaku Pengerusi Yayasan Perak.

Nasreen Khanum berkata kerjasama itu berjaya membawa pelaburan ke Perak sekali gus memberi manfaat kepada sosioekonomi dalam meningkatkan kebolehpasaran perniagaan melalui pengiklanan secara digital seiring dengan kemajuan teknologi terkini.

"Pemeteraian ini turut memberi impak positif serta inovasi baharu kepada teknologi papan pengiklanan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan bagi kemahiran teknikal dan vokasional di Perak.

"Kita anggarkan kira-kira 200 peluang pekerjaan dapat diwujudkan khususnya mereka yang berkemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional sekali gus menjayakan misi Perak Sejahtera 2030,” katanya pada majlis itu hari ini.

Beliau berkata melalui kerjasama strategik itu 10 lokasi telah dikenal pasti terutama di Ipoh bagi fasa pertama papan pengiklanan digital sekali gus menarik perhatian masyarakat setempat dan pelancong bertepatan dengan Tahun Melawat Perak 2024.

"Platform ini juga dapat memberi manfaat untuk sebarang perkongsian maklumat, hebahan serta maklumat lain berkaitan Perak selain meningkatkan kemahiran anak tempatan melalui pemindahan teknologi dan perkongsian tenaga pakar,” katanya.

Sementara itu, Justin berharap nilai estetika bandar Ipoh dapat ditingkatkan dengan paparan imej yang lebih menarik selain sebagai platform untuk mempromosikan kegiatan ekonomi negeri, produk tempatan dan hebahan melalui teknologi terkini daripada LG.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan