JENAYAH & MAHKAMAH

KES BUNUH SISWAZAH UUM: BEKAS AHLI PERNIAGAAN GAGAL KETEPI HUKUMAN MATI

29/05/2024 06:20 PM

PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati dihadapi seorang bekas ahli perniagaan yang disabitkan kesalahan membunuh seorang eksekutif pemasaran wanita 18 tahun lepas. 

Barisan panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais mengetepikan permohonan semakan semula Shahril Jaafar untuk menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

“Kami ingin ulangi mahkamah ini mempunyai belas kasihan. Pada pandangan kami ini kes luar biasa dengan fakta yang luar biasa,” kata Hakim Harmindar.

Beliau berkata si mati (Chee Gaik Yap) telah menghadapi keganasan yang luar biasa di tangan Shahril dan wanita berusia 25 tahun itu diculik, diliwat, dirogol serta dibunuh oleh Shahril. 

Hakim Harmindar berkata jenayah itu menggemparkan orang ramai, dan kejadian pula berlaku pada waktu siang.

"Kami memutuskan untuk menolak permohonan Shahril dan hukuman mati dikekalkan," kata Hakim Harmindar.

Pada 2015, Shahril, 43, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar atas pertuduhan membunuh Chee, siswazah Universiti Utara Malaysia, berhampiran Kelab Cinta Sayang di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, antara 5.30 petang pada 14 Jan dan 3.05 pagi pada 15 Jan 2006.

Dia dijatuhi hukuman mati dan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah ditolak masing-masing pada 2016 dan 2018. 

Terdahulu, peguam Rosli Kamaruddin meminta mahkamah meringankan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas anak guamnya kepada penjara seumur hidup.

Beliau berkata anak guamnya yang sudah insaf, merayu mahkamah untuk memberinya peluang menebus kesalahannya, dan Sharil juga aktif menyertai program pemulihan penjara sebagai bukti komitmennya untuk bertaubat.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Dusuki Mokhtar yang dibantu oleh DPP Solehah Noratikah Ismail membantah permohonan Shahril dan meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati memandangkan ini ialah kes yang amat jarang sekali berlaku.

Beliau berhujah ini kes penculikan kejam, rogol, liwat dan pembunuhan seorang wanita muda yang sedang berjoging bersama adik perempuannya dan mayatnya ditemukan dalam keadaan separuh bogel di dalam semak berhampiran trek joging, sembilan jam kemudian.

Dusuki berkata pakar patologi forensik menemukan 50 luka pada badan Chee termasuk di sekitar bahagian sulit yang DNA Shahril dikesan.

Shahril kemudian dilaporkan melarikan diri ke Australia selama tiga tahun bagi mengelak disiasat dan ditahan. Dia akhirnya ditahan enam tahun kemudian di Lapangan Terbanga Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Perth pada Jan 2012.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan