AM

Lsh Best Builders, Service Master (m) Dipilih Uruskan Operasi Menara Kl

29/05/2024 05:52 PM

PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Sebuah syarikat usaha sama yang dianggotai LSH Best Builders Sdn Bhd dan ⁠Service Master (M) Sdn Bhd telah dipilih oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk menguruskan operasi Menara Kuala Lumpur, menerusi konsesi selama 20 tahun.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata syarikat tersebut dipilih selepas saringan dibuat terhadap syarikat-syarikat yang telah memasuki tender dan cadangan melalui permintaan untuk cadangan (RFP) untuk menguruskan Menara Kuala Lumpur.

"Syarikat LSH Best Builders ini didapati memenuhi syarat-syarat dan tidak ada apa-apa isu telah dilakukan dari segi intergriti dan tidak timbul isu, dan sekarang proses seterusnya adalah pengeluaran surat kepada syarikat tersebut,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa semua syarikat yang ingin terlibat dalam proses tender tersebut perlu mempunyai keupayaan kewangan sekurang-kurangnya mempunyai RM18 juta dari segi kemampuan. 

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata maklumat lanjut berkenaan pemberian tender kepada syarikat tersebut akan dikeluarkan oleh UKAS.

"Saya bangkitkan perkara ini kerana sebelum ini Menara Kuala Lumpur, antara isu-isunya ada berkait juga dengan (Kementerian Komunikasi) atau dijawab oleh menteri komunikasi.

"Jadi Alhamdulillah hari ini telah diputuskan dan Jemaah Menteri dimaklumkan konsesi ini adalah selama 20 tahun," katanya.

Sebelum ini, Menara Kuala Lumpur diuruskan oleh anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd (TM), Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), secara konsesi sejak 1996.

TM pada Oktober 2021 memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi MKLSB dan memaklumkan kepada kerajaan, selepas pertimbangan yang sewajarnya mengenai perubahan sifat perniagaan Menara Kuala Lumpur daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti,

Sehubungan itu pada 2022, proses pemilihan untuk pemegang konsesi baharu telah dijalankan oleh kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan