AM

Isu Parallel Pathway : Mungkin Perlu Pindaan Undang-undang - Fahmi

29/05/2024 05:38 PM

PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan beberapa pindaan mungkin dilakukan terhadap undang-undang sedia ada bagi menyelesaikan isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah memberikan maklum balas mengenainya dan Pejabat Peguam Negara turut memberi pandangan dari segi aspek perundangan .

Parallel Pathway merujuk kepada isu yang melibatkan pertindihan antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa perlu sedikit pindaan kepada undang-undang sedia ada dan ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan perincian mengenai akta berkaitan juga akan dibincangkan minggu depan.

Isu Parallel Pathway, menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Ia selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan, ekoran Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka, tidak diiktiraf.

Untuk rekod, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program Parallel Pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Pada 27 Mei lepas Zambry dilaporkan berkata isu Parallel Pathway akan diselesaikan dengan kadar segera dan satu rangka cadangan penyelesaian telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti.

Menurut Zambry, perbincangan dengan Kementerian Kesihatan telah diadakan baru-baru ini bagi mencari penyelesian melibatkan aspek perundangan selain isu berkaitan pengiktirafan terhadap program perubatan yang ditawarkan di universiti.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan