AM

TIDAK ADIL UNTUK GESA HANNAH YEOH LETAK JAWATAN - TEO

29/05/2024 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Desakan bekas pemimpin DAP Pulau Pinang P. Ramasamy supaya Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meletak jawatan berhubung isu pemberian kontrak kerajaan negeri Selangor kepada suaminya adalah bersifat tidak adil.

Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching berkata tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang selama 15 tahun di bawah kerajaan negeri DAP itu jelas menunjukkan sikap berpura-puranya selepas keluar daripada parti itu.

Beliau mempersoalkan tindakan Ramasamy yang tidak melakukan gesaan sama apabila bekas Setiausaha Agung yang kini Pengerusi DAP, Lim Guan Eng didakwa di mahkamah.

Teo yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata demikian bagi menjawab gesaan Ramasamy supaya Hannah meletak jawatan atas dakwaan kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan negeri Selangor diberikan kepada syarikat suaminya secara rundingan terus.

“Sekiranya siasatan yang dijalankan membuktikan bahawa ada salah guna kuasa, saya percaya bahawa beliau (Hannah) akan tertakluk kepada tahap penyiasatan yang sama.

“… saya rasa beliau alan berkerjasama dengan sebarang bentuk siasatan tetapi soalan sama ada beliau wajar untuk letak jawatan, saya fikir ia terlalu awal,”katanya pada sidang media di sini hari ini.

"Adakah Ramasamy ketika itu meminta Lim Guan Eng (LGE) meletak jawatan dan kenapa dia tukar pendirian sekarang?.

Adakah kerana LGE ketika Setiausaha Agung dan Ramasamy tidak mahu serang dia atau pun masa itu (Ramasamy) dalam DAP tidak boleh serang dan kini apabila sudah keluar DAP, dia hendak jadi malaikat?," katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan ia sudah melakukan siasatan interim berhubung isu pemberian kontrak tersebut namun tidak menemukan sebarang kesalahan dan tiada kes dalam isu tersebut.

Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, yang merupakan syarikat milik suami Hannah, ialah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Selangor.

Sementara itu dalam sidang media sama, Teo melancarkan program HERLEAD oleh Wanita DAP iaitu program pendidikan politik yang direka bagi memperkasa dan melengkapkan wanita parti itu dengan kemahiran serta pengetahuan diperlukan untuk menjadi pemimpin politik berpengaruh.

“(Kebanyakan) parti politik memberikan alasan adalah tidak mempunyai calon (wanita) yang mencukupi, program HERLEAD ini adalah direka untuk mengatasi masalah ini.

program pertama HERLEAD bakal berlangsung pada 22 dan 23 Jun di Kuala Lumpur dan mereka yang berminat boleh mendaftar bermula hari ini di pautan https://forms.gle/xqFxKyCW5ZbMdER77.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan