AM

Laporan Penuh Nahas Helikopter Tldm Diterbitkan Esok - Fahmi

29/05/2024 04:53 PM

PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Laporan penuh nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya di Lumut, Perak telah siap dan akan dikeluarkan esok, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah memaklumkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengenai status terkini laporan penuh nahas dua helikopter TLDM, 23 April lalu.

“Beliau (Mohamed Khaled) memaklumkan bahawa laporan telah siap dan akan diterbitkan esok...boleh nantikan pengumuman penuh hasil siasatan bahas helikopter itu,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Dalam tragedi pada 23 April lepas, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Hwlikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki bergesel dan terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Susulan kejadian itu, Lembaga Siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas dua helikopter terbabit.

Laporan interim insiden berkenaan pada 9 Mei lepas mengesahkan tahap kesihatan kesemua kru udara yang terlibat dalam nahas itu berada dalam keadaan yang baik untuk mengendalikan pesawat dan kedua-dua helikopter berkenaan berada dalam keadaan  airworthy (selamat untuk terbang) semasa hari kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan