AM

Berjumpa Di Awan Biru, Kini "mendarat" Di Bumi Hijau Taiping

29/05/2024 11:57 AM

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

TAIPING, 29 Mei (Bernama) -- Tidak menduga berjumpa si jantung hati di awan biru semasa sama-sama bertugas sebagai kru kabin sebuah syarikat penerbangan tambang rendah pada 2018, Nao Dobashi dari Jepun kini bahagia melayari bahtera rumah tangga dengan suaminya di sini.

Berkahwin dengan Ashraf Danial Anuar, 32, kira-kira lima tahun lalu, Nao, 28, mengakui berasa tenang tinggal di bandar ini yang dikelilingi kehijauan pepohon, meskipun sibuk melayani ragam dua anak mereka, Sophia, 3 dan Alpha, setahun.    

Dia yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa, menyifatkan Taiping sebagai “tempat terbaik” untuknya sejak kali pertama menjejakkan kaki di bandar ini, selepas kagum dengan kehijauan landskap serta cara hidup masyarakat yang  “santai” dan tidak bergegas mengejar masa.    

“Saya datang ke sini buat pertama kali pada 2019 dan berasa begitu seronok apabila melihat betapa hijaunya bandar ini yang memberikan saya ketenangan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.  

Berasal dari Osaka, Nao berkata perasaan tersebut tidak ditemukan ketika dia melancong ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebelum itu, yang disifatkannya sebagai terlalu “sibuk” dan “bingit” dengan kenderaan serta sesak dengan orang ramai.

Tidak lama selepas berkahwin pada 2019, Nao dan Ashraf Danial terpaksa menjalani  “perkahwinan jarak jauh” susulan penularan COVID-19 yang menyaksikan sempadan negara di seluruh dunia ditutup, dengan Nao berada di Jepun dan Ashraf Danial di negara ini.

Bagaimanapun selepas kelahiran anak kedua mereka, pasangan ini memutuskan untuk terus menetap di Taiping. 

Menurut wanita itu, pada peringkat awal memang agak sukar untuknya menyesuaikan diri tinggal di negara ini lantaran cuaca panas dan lembap berbanding negara asalnya yang mempunyai empat musim.

“Jujurnya, ketika mula-mula sampai di sini, saya tidak boleh hidup tanpa pendingin hawa kerana cuaca yang sangat panas bagi saya,” ujarnya sambil tersenyum.

Bagaimanapun Nao bersyukur kerana ibu mentuanya serta adik-beradik Ashraf Danial banyak membantunya menyesuaikan diri dengan cara hidup dan budaya di Malaysia.

Dalam pada itu, Nao berkata ada beberapa perkara yang dia kagumi tentang rakyat Malaysia, antaranya ialah sikap suka membantu orang lain, iaitu sesuatu yang amat jarang dapat dilihat di Jepun.

“Di sini kita boleh lihat orang ramai begitu mudah menderma walaupun tidak kenal siapa yang minta derma itu, tidak kira di mana... di restoran atau tepi jalan. Di Jepun, susah untuk tengok situasi ini kerana bukan budaya kami,” kongsinya. 

Bagaimanapun katanya, Jepun ada budaya menarik yang tidak ditemukan di sini, antaranya semua perkara harus dalam keadaan seragam atau sejajar termasuk cara letak kenderaan.

Contohnya, jika kereta pertama diletakkan dalam kedudukan mengundur, maka kenderaan lain juga akan menuruti dan diletakkan dalam kedudukan sama. 

Tentang makanan di negara ini, Nao berkata kuetiau dan tomyam adalah kegemarannya, namun dia suka makan hampir apa sahaja asalkan tidak pedas. 

Selain itu, dia juga gembira kerana begitu mudah mendapatkan makanan halal di Malaysia dan berharap negara kelahirannya menggalakkan pertumbuhan industri makanan halal di sana yang pada masa ini sukar diperoleh oleh komuniti Islam di Negara Matahari Terbit itu.

“Langkah ini juga akan menggalakkan kedatangan pelancong Islam ke Jepun,” tambahnya.

Dalam pada itu, dia berharap operator pusat beli-belah di Malaysia lebih prihatin terhadap keperluan ibu bapa yang mempunyai anak kecil dengan menyediakan bilik untuk menukar lampin bayi  misalnya, kerana kata Nao, tidak seperti di Jepun, kemudahan sedemikian tidak banyak disediakan di tempat tumpuan awam negara ini. 

Sementara itu, Ashraf Danial berkata dia kini mengusahakan Restoran Nasi Bani Melayu di Simpang di sini yang menyediakan pelbagai masakan panas termasuk “shell out” selepas kehilangan kerja susulan penularan COVID-19.

“Apabila dapat e-mel daripada syarikat penerbangan berkenaan, saya seperti dikejutkan dari tidur agar cari inisiatif untuk sara hidup. 

“Lantaran itulah saya manfaatkan kemahiran yang saya peroleh semasa membantu mak dan ayah usahakan restoran mereka pada 2014 untuk jalankan perniagaan restoran saya sendiri,” kongsinya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan