DUNIA

Mahar Gesa Israel Hentikan Semua Operasi Ketenteraan Di Rafah

28/05/2024 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) terus menegaskan seruan untuk Israel menghentikan dengan serta-merta operasi ketenteraan ke atas Rafah. 

MAHAR dalam satu kenyataan pada Selasa berkata serangan udara Israel semalaman telah membunuh sekurang-kurangnya 35 atau lebih rakyat Palestin dan mencederakan puluhan lagi termasuk kanak-kanak dan bayi kecil di kem pelarian Rafah di selatan Semenanjung Gaza. 

"Jika perbuatan pembunuhan demikian dilakukan oleh pihak Russia, figura politik dan media barat tidak akan tunggu sesaat untuk menyatakan kecaman dan kutukan. 

"Walau bagaimanapun, tragedi pembunuhan oleh Isreal terhadap penduduk Palestin dengan taktik membakar hidup-hidup, mereka seolah-olah bisu, pekak dan buta. Figura politik dan ketenteraan Israel tidak lain dengan dan sedang memotret perancangan jenayah terburuk yang pernah kita lihat," menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar berkata : “Israel sepatutnya dilucutkan keupayaan ketenteraannya sepertimana dilakukan oleh pihak bersekutu ke atas Jerman selepas Perang Dunia Kedua berikutan menggunakan senjata ke atas orang awam yang tidak bersenjata."

Beliau juga menekankan kepentingan memastikan akses tanpa halangan sempadan Rafah dibuka semula untuk bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza tanpa sekatan yang tidak munasabah.

Pejabat Media Gaza berkata serangan itu berlaku berhampiran pangkalan logistik Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Tal al-Sultan.

Serangan itu berlaku walaupun ICJ telah mengarahkan Israel menghentikan serangannya di Rafah, yang lebih sejuta rakyat Palestin mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diserang pada 6 Mei.

Israel telah membunuh lebih 36,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt tahun lalu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan