SUKAN

DECLAN TAWAR ‘VERSATIL’ KEPADA PAN GON

28/05/2024 10:31 PM

PETALING JAYA, 28 Mei (Bernama) — Selepas dua tahun, pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC Declan Lambert teruja untuk kembali ‘memikat’ ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama bagi dua aksi getir pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, bulan depan. 

Pemain berusia 26 tahun yang kali terakhir membuat penampilan bersama Harimau Malaya di Piala Raja Thailand 2022, mengakui menjadi tanggungjawab pemain negara untuk berani ke hadapan apabila beberapa tonggak dihimpit isu kecederaan. 

“Saya rasa boleh menawarkan versatil dengan mengisi peranan di bahagian kiri dan kanan,” kata pemain kacukan Malaysia-Australia ketika ditemui semasa kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Beliau mengakui dapat merasai kehangatan persaingan terutamanya apabila masih ramai pemain berkualiti dalam senarai panjang Pan Gon selain merasakan mereka mempunyai peluang untuk menewaskan Kyrgyzstan berdasarkan rekod terdahulu. 

Skuad Harimau Malaya bakal menentang Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada 6 Jun depan.

Selepas menamatkan aksi di Bishkek, skuad negara akan pulang bagi perlawanan keenam berdepan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.

Sementara itu, penyerang Terengganu FC (TFC) Engku Nur Shakir Engku Yacob yang pertama kali mendapat ‘panggilan’ Harimau Malaya dapat merasai perbezaan tahap intensiti tinggi digunakan di kem negara namun berjanji akan memberi 100 peratus komitmennya. 

Beliau turut mengakui keadaan semasa yang dihadapi Harimau Malaya memberi ruang buatnya merebut tempat dalam kesebelasan utama. 

Terdahulu, isu kecederaan pemain terus berlarutan selepas seorang lagi tonggak Syafiq Ahmad, juga terpaksa digugurkan daripada senarai apabila mengalami kecederaan seperti dimaklum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam. 

Pan Gon bagaimanapun memanggil pemain Kuala Lumpur City FC Zhafri Yahya untuk mengisi kekosongan pemain Kedah Darul Aman FC itu.

Dalam pada itu pemain sayap Kuching City FC Nur Shamie Iszuan Amin dipanggil menggantikan penyerang Sabah FC Darren Lok yang mengalami kecederaan pangkal paha hari ini. 

Darren merupakan tonggak jentera serangan Harimau Malaya terbaharu yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan selepas dua pemain sayap Faisal Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi serta dua penyerang Romel Morales dan Muhammad Syafiq Ahmad.

Selepas dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman pada aksi kelayakan, Mac lalu menyaksikan skuad negara menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan selaku pendahulu dan Oman di tangga kedua.

Dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selain meraih slot automatik ke Piala Asia 2027.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan