EKONOMI

Maybank Lancar Kertas Putih Berkaitan Laluan Sifar Bersih Sektor Minyak Sawit, Tenaga

28/05/2024 09:53 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Maybank akan melancarkan kertas putih mengenai laluan sifar bersihnya untuk dua sektor, iaitu kelapa sawit dan tenaga, yang akan dimaklumkan kepada umum mengenai kaedah bank itu untuk mengurangkan pelepasan karbon menjelang 2030.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli berkata kertas putih itu merupakan langkah penting untuk mempunyai rancangan dan tindakan yang sangat jelas agar Maybank dapat mencapai sifar bersih.

“Diharapkan kertas itu akan siap pada Jumaat ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi panel bertajuk ‘Peralihan Ke Arah Masa Depan Bersama’ di Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) hari ini.

Beliau berkata Maybank mempunyai enam sektor yang perlu ditangani kerana sektor tersebut menyumbang kepada 90 peratus daripada pelepasan karbon, mewakili kira-kira 100 syarikat.

“Oleh itu, dalam tempoh setahun yang lepas, kami telah menghubungi 55 daripada 100 syarikat dalam enam sektor ini untuk memahami apa yang mereka lakukan dan untuk memberikan sokongan,” katanya.

Enam sektor tersebut akan diumumkan tidak lama lagi, kata Khairussaleh.

Beliau juga berkata Maybank ialah bank pertama di rantau ASEAN yang menubuhkan pasukan penyelidikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan sangat aktif dalam Perikatan Perbankan Sifar Bersih.

Mengulas lanjut mengenai tindakan iklim dan peranan kewangan Islam dalam memacu perjalanan peralihan tenaga, Khairussaleh berkata kewangan peralihan akan menyediakan industri perkhidmatan kewangan kelas aset baharu dan utama ke arah ekonomi sifar bersih.

“Jadi, dari sudut pandangan saya, kita harus pastikan kemampanan dihubungkan dengan pembiayaan peralihan sebagai sebahagian daripada strategi teras dalam menjalankan perniagaan agar kemampanan  dapat dikekalkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan