AM

SPM 2023: MUHAMMAD SYAHRUL BUKTIKAN PELAJAR TAHFIZ MAMPU RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG

28/05/2024 09:02 PM

MELAKA, 28 Mei (Bernama) -- Demi mengejar cita-cita menjadi jurutera, seorang pelajar tahfiz nekad mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 21 tahun dan ternyata usaha itu membuahkan hasil apabila berjaya mencatatkan keputusan cemerlang 9A.

Pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Rabiatul Adawiyah, Bukit Katil di sini, Muhammad Syahrul Sa’aban berkata walaupun hanya mendapatkan pendidikan akademik secara formal sehingga darjah enam, namun ia bukan halangan dan menganggap kejayaan itu mampu dicapai sekiranya sesuatu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Muhammad Syahrul yang menghafaz al-Quran sehingga 30 juzuk itu hanya berpeluang mengambil peperiksaan SPM secara persendirian pada tahun lepas selepas berdepan kekangan untuk menduduki peperiksaan itu pada 2020 disebabkan pandemik COVID-19.

"Sebelum ini fokus saya untuk melengkapkan hafazan 30 juzuk dan menghadapi SPM, saya menghabiskan masa belajar serta mengulang kaji pelajaran dalam tempoh setahun 10 bulan.

"Selain itu, saya perlu bijak membahagikan masa untuk mengikuti kelas pengajian agama dan al-Quran supaya hafazan terus mampu diingati," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

 Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata beliau juga mengikuti kelas tuisyen selama dua jam setiap hari di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) Ayer Keroh sebagai persediaan menduduki SPM.

Muhammad Syahrul yang meminati subjek Matematik Tambahan itu berkata bagi memastikan lebih memahami sesuatu mata pelajaran beliau memanfaatkan sepenuhnya penggunaan televisyen, aplikasi YouTube dan Google untuk belajar.

"Saya amat bersyukur kerana sasaran untuk mendapat keputusan seperti ini berjaya dicapai dengan izin Allah kerana sebelum ini saya pernah hampir putus asa dan rendah diri untuk teruskan hasrat mengambil peperiksaan SPM.

"Namun atas dorongan ibu dan pengasas madrasah serta rakan-rakan, hasrat itu diteruskan sehingga saya berjaya mencapai keputusan ini," katanya.

Muhammad Syahrul yang belajar dalam aliran sains berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di Jepun atau Jerman sekiranya diberi peluang. 

Keputusan  itu diharap dapat mengubah pandangan skeptikal segelintir masyarakat terhadap kemampuan pelajar tahfiz untuk turut berjaya dalam bidang akademik.

"Alhamdulillah dengan segala usaha serta pengorbanan selama ini akhirnya membuahkan hasil dan kejayaan bukan sahaja hadiah untuk diri sendiri malah keluarga serta warga madrasah di sini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan