EKONOMI

Tourism Malaysia Dan Rakan Kongsi Sertai Itb China 2024

28/05/2024 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei  (Bernama) -- Reruai Tourism Malaysia telah dilancarkan pada Internationale Tourismus-Börse (ITB) China 2024 di Pusat Pameran dan Konvensyen Ekspo Dunia Shanghai sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan kepada pemain industri pelancongan di China.

Tourism Malaysia menerusi kenyataannya berkata delegasi Malaysia ke pameran perdagangan pelancongan selama tiga hari yang bermula semalam (27-29 Mei) itu diketuai oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Manoharan Periasamy.

Ia menyatakan bahawa ITB China 2024 telah disertai oleh rakan kongsi pelancongan penting dari Penang Global Tourism dan negeri-negeri lain iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak dengan jumlah keseluruhan 37 organisasi termasuk hotel dan resort, pengusaha pelancongan, persatuan pelancongan, pemilik produk dan satu syarikat penerbangan.

Kenyataan itu turut memetik Tiong sebagai menyifatkan penyertaan Malaysia di ITB China tahun ini menandakan komitmen dan keikhlasan untuk mengukuhkan kerjasama dan memperdalam pertukaran dari segi pelancongan dan kebudayaan melalui interaksi rakyat dengan rakyat, terutamanya pada ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Ini merupakan penyertaan keempat Malaysia dalam pameran perdagangan itu sejak dimulakan pada 2017.

China kekal sebagai salah satu sumber pasaran pelancongan utama Malaysia dengan 1.47 juta pelancong dari negara tersebut tiba tahun lepas.

ITB China adalah salah satu pameran perdagangan pelancongan terbesar di China yang diadakan setiap tahun dengan dihadiri oleh Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan, agensi pelancongan, pengendali hotel dan pemilik produk pelancongan, serta pemain industri pelancongan lain dari China dan seluruh dunia.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan