AM

Pemangku Raja Perlis Titah Pengusaha Tingkat Kualiti Barangan Dijual Di Padang Besar

28/05/2024 08:39 PM

PADANG BESAR, 28 Mei (Bernama) -- Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan pengusaha produk tempatan meningkatkan lagi tahap produk keluaran dan barangan yang dijual di Padang Besar bagi memastikan berkualiti serta menarik minat pembeli.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah Padang Besar berpotensi tinggi sebagai pusat sehenti bagi berbagai-bagai barangan termasuk barangan isi rumah, makanan dan minuman, pakaian, barangan sukan, aksesori kenderaan selain pelbagai barangan bagi sektor perdagangan antara negara sempadan.

"Peluang ini perlu digunakan sebaiknya terutamanya oleh anak-anak muda dan masyarakat setempat untuk berniaga dan mencari rezeki serta melibatkan diri dengan serius dalam sektor pelancongan yang sedang rancak sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian semasa berkenan merasmikan pembukaan Plaza Niaga Padang Besar dan Majlis Minum Petang Bersama Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) di plaza niaga itu di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil pendekatan penyuraian trafik khususnya di kawasan tumpuan di pekan Padang Besar bagi mengatasi kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim cuti perayaan.

“Papan tanda yang jelas juga hendaklah dipasang. Langkah ini secara tidak langsung selain memudahkan para pengusaha, memberikan kelegaan terutamanya pengguna pengangkutan awam dan pengunjung dari luar Perlis," titah baginda.

Pemangku Raja Perlis bertitah Plaza Niaga Padang Besar itu merupakan antara tarikan buat pelancong  selain sumber ekonomi bagi penduduk setempat dan kerajaan negeri secara khususnya.

"Aset-aset dan kekuatan yang beroperasi di pekan Padang Besar secara keseluruhannya hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjadikan kawasan ini lebih mesra pengunjung,” titah baginda.

Sementara itu, Mohd Shukri yang ditemui pemberita selepas majlis berkenaan berkata tapisan rapi akan dilakukan untuk memastikan tiada warganegara asing berniaga di plaza itu.

"Kita (Kerajaan Perlis) akan pastikan setiap peniaga mempunyai dokumen seperti lesen berniaga dan sebagainya untuk pastikan hanya warganegara tempatan berniaga di sini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan