EKONOMI

Pasaran Hartanah Yang Positif Tingkatkan Industri Cat - Smart Asia Chemical

28/05/2024 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Smart Asia Chemical Bhd optimistik mengenai prospek industri cat tahun ini, berdasarkan pertumbuhan pasaran hartanah yang positif dan meningkatnya permintaan untuk produk-produk mengecat.

Pengarah Urusan Goh Chye Hin berkata merebut sebahagian daripada pertumbuhan dalam industri itu mungkin mencabar, memandangkan saingan yang semakin sengit dalam industri.

“Penguasaan pasaran semasa kami adalah kira-kira 0.59 peratus, yang mana ia sangat rendah kerana kapasiti kami yang terhad, oleh sebab itu kami membina kilang kami di Batu Gajah, Perak.

"Jika kami menggunakan sepenuhnya kapasiti loji, bahagian pasaran kami boleh meningkat kepada 2.6 peratus," katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia di sini hari ini.

Smart Asia Chemical dibuka pada harga 50 sen sesaham, mencatat premium sebanyak 10 sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 40 sen, dengan 9.73 juta saham didagangkan ketika mula disenaraikan di Pasaran ACE.

Dalam satu kenyataan, pengeluar cat dan salutan industri itu berkata ia menyasarkan untuk mengumpul RM37.4 juta daripada IPOnya.

Daripada jumlah itu, RM16 juta (42.78 peratus) akan digunakan untuk membiayai sebahagian pembinaan kilangnya di Batu Gajah, Perak; RM11 juta (29.41 peratus) untuk pembelian dan pentauliahan sistem pengeluaran cat automatik, dan RM5 juta (13.37 peratus) untuk pembelian 250 set mesin Warna POS (titik jualan) Pengadun Warna Pintar.

“Bakinya akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan yang berkaitan dengan penyenaraian,” katanya.

Smart Asia Chemical tertumpu kepada pembangunan, pembuatan, pengedaran dan penjualan pelbagai cat hiasan dan salutan pelindung untuk kegunaan rumah dan industri serta produk-produk berkaitan cat yang lain.

Kaunter saham itu bagaimanapun ditutup pada harga 46 sen, 6.0 sen lebih tinggi daripada harga IPO.

Pengeluar cat dan salutan perindustrian itu juga muncul sebagai salah satu daripada lima saham paling aktif pada hari itu, dengan 74.07 juta saham didagangkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan