AM

Pembaharuan Subsidi Perlu Dilakukan Secara Beransur-ansur - Acccim

28/05/2024 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Pembaharuan subsidi perlu dilakukan secara beransur-ansur untuk mengelakkan kejutan besar kepada pengguna dan perniagaan, kata Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Tan Sri Low Kian Chuan.

Beliau berkata pembaharuan sedemikian perlu dirancang dengan teliti dan dilaksanakan secara telus untuk meminimumkan ralat "pemasukan dan pengecualian" dan menambah baik penguatkuasaan bagi menjadikannya lebih berkesan.

“Kenaikan harga yang kecil lebih mudah diterima dan membolehkan rakyat dan perniagaan menyesuaikan diri dengan situasi harga baharu dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan dari semasa ke semasa, rasionalisasi subsidi bahan api dan tenaga akan memaksa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencari sumber tenaga alternatif dan yang lebih bersih untuk mengoptimumkan kos operasi dan mengekalkan daya saing mereka.

“Kerajaan boleh menyediakan insentif cukai kepada PKS untuk mengguna pakai sumber tenaga boleh diperbaharui dan teknologi cekap tenaga bagi membantu mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil serta mengurangkan kesan turun naik harga bahan api,” katanya.

Sehubungan itu, ACCCIM berpendapat bahawa rasionalisasi subsidi diesel adalah satu langkah ke arah yang betul untuk memastikan kemampanan fiskal dan hutang serta menggalakkan amalan mampan alam sekitar.

Dewan itu berkata rasionalisasi subsidi diesel yang disasarkan bukan sahaja membantu mengurangkan defisit fiskal tetapi juga memberi manfaat kepada ekonomi kerana penjimatan subsidi (dianggarkan berjumlah RM4 bilion) boleh disalurkan semula kepada sektor produktif seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam serta perkhidmatan komuniti penjagaan warga emas.

“Kami mengalu-alukan subsidi berterusan untuk kenderaan pengangkutan awam dan barangan bagi membantu meminimumkan kesan terhadap inflasi dan kos perniagaan. Di samping itu, bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 untuk individu yang layak akan membantu mengurangkan kesan lonjakan kos isi rumah," katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan