EKONOMI

Untung Bersih Suku Pertama Celcomdigi Naik Kepada Rm376.46 Juta

28/05/2024 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih CelcomDigi Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2024 meningkat kepada RM376.46 juta daripada RM317.92 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil, bagaimanapun, merosot sedikit kepada RM3.15 bilion daripada RM3.18 bilion sebelum itu, kata syarikat telekomunikasi itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dalam satu kenyataan, CelcomDigi berkata ia menumpukan untuk memberikan nilai yang lebih baik kepada pelanggan menerusi pelan 4G dan 5G yang diperbaharui dan menggabungkan penawaran bagi meningkatkan pertumbuhan pelanggan pascabayar dan Home & Fibre kepada 20.5 juta, iaitu peningkatan sebanyak 174,000 tahun ke tahun.

Ia berjaya mempercepatkan program penyepaduan dan pemodenan rangkaiannya untuk membina rangkaian digital terkemuka Malaysia, dengan lebih 7,200 tapak dimodenkan pada akhir April 2024. 

"Usaha ini telah meningkatkan pengalaman rangkaian secara keseluruhan – lebih daripada 80 peratus pelanggan di kawasan pasca penyatuan telah mengalami peningkatan dalam kualiti isyarat dan daya pemprosesan rangkaian, memberikan purata kelajuan muat turun di seluruh negara melebihi 67Mbps," katanya.

Ia akan melepasi paras 50 peratus penyiapan di tujuh negeri, dan akan menyelesaikan proses di Pulau Pinang yang dijangka pada akhir Jun 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Idham Nawawi berkata prestasi asas suku pertama tahun kewangan 2024 adalah berdaya tahan, kerana ia mengekalkan hasil teras yang stabil sambil mengekalkan pertumbuhan pada asas pelanggan dan meningkatkan keuntungan.

"Pada tahun kedua operasi selepas penggabungan ini, tumpuan kami adalah untuk membina asas yang kukuh untuk masa depan bagi mencapai pertumbuhan yang menguntungkan, memanfaatkan teknologi dan kecekapan.

"Kami terus meningkatkan aktiviti transformasi dan integrasi dalam semua bidang dan kekal teguh dalam memberikan pengalaman pelanggan terbaik dalam kelasnya, dikuasakan oleh organisasi yang progresif dan cekap," katanya.

Syarikat itu telah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 3.5 sen sesaham, bersamaan dengan pembayaran pada suku keempat tahun kewangan 2023 sebanyak RM411 juta, sejajar dengan komitmen dividennya yang mampan kepada para pemegang saham.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan