AM

KKR BANGUNKAN PUSAT INFORMASI DAN DATA ANALITIK SEKTOR PEMBINAAN

28/05/2024 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) membangunkan Pusat Informasi dan Data Analitik Sektor Pembinaan Nasional (NCIP) bagi memperkasa penyampaian perkhidmatannya.

Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia bertujuan memastikan pengurusan data raya, pentadbiran perundangan serta peraturan sektor pembinaan yang lebih holistik, komprehensif, tepat, sahih dan berintegriti.

Beliau berkata NCIP merangkumi dua sistem utama iaitu Centralised Regulations Repository (CRR) dan National Construction Centralised Data Repository (NCDR).

"Dengan adanya platform NCIP, KKR berharap dapat mengeluarkan pelaporan statistik dan analisis bagi setiap aspek dengan mengambil kira trend dan pola termasuk tinjauan tingkah laku berdasarkan data sedia ada.

"Sebagai contoh bagi Program MyJALAN, satu aplikasi aduan sedang diperkasa untuk menangani isu-isu jalan raya dan melalui pengumpulan data holistik menerusi platform ini, ia dapat membantu kita mencapai keputusan terbaik dalam aspek dasar dan kewangan," katanya.

Nanta berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pra-pelancaran CRR dan NCIP di Kompleks KKR di sini hari ini.

Beliau berkata KKR menyasarkan hab data raya informasi dan analitik berkenaan digunakan secara menyeluruh pada 2028.

Katanya ini supaya setiap proses kerja yang dilakukan bersifat telus dan jelas, sekali gus memenuhi komitmen kerajaan terhadap sifat keterbukaan pasaran di peringkat antarabangsa seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). 

Menurutnya setakat semalam, sistem CRR yang dibangunkan sejak Jun 2023 berjaya mengumpulkan 726 dokumen rasmi perundangan dan peraturan manakala NCDR kini mempunyai enam modul dan 15 set data berkaitan sektor pembinaan dan jalan raya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan