AM

Tanggungjawab Keselamatan Perlindungan Kini Lebih Luas Meliputi Aspek Ict Dan Digital

28/05/2024 04:14 PM

PUTRAJAYA, 28 Mei (Bernama) -- Tanggungjawab keselamatan perlindungan kini tidak hanya tertakluk kepada persekitaran kondusif, aset dan kerahsiaan kerajaan semata-mata, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Malah beliau berkata ia meliputi aspek keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang merupakan agenda terkini yang (perlu) diberikan perhatian, agar penggunaannya dapat dilaksanakan secara sistematik, holistik dan terancang.

Dalam ucapan Perasmian Konvensyen Keselamatan Perlindungan Peringkat Kebangsaan anjuran Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) di sini hari ini, beliau berkata era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) menyaksikan perkembangan teknologi digital yang pesat, sekali gus memberi isyarat kepada jentera perkhidmatan awam untuk mengubah cara kerja berteraskan kepada transformasi dan inovasi digital.

“Hakikatnya, perkembangan teknologi ini turut memberikan kesan langsung kepada landskap keselamatan yang menjadi semakin kompleks, serta meningkatkan potensi risiko.

“Pengenalan dan adaptasi terhadap teknologi baharu yang menyokong operasi serta fungsi organisasi seperti Internet benda (IOT), kecerdasan buatan (AI), data raya, Bring Your Own Devices (BYOD) dan pengkomputeran awan, dilihat berupaya mendatangkan ancaman baharu yang perlu ditangani secara berkesan seperti mana ancaman tradisional terdahulu,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mohd Zuki berkata cabaran baharu tersebut, turut menuntut kerajaan untuk segera memperkasakan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang diperlukan penjawat awam, bagi memastikan kemajuan teknologi dapat diadaptasikan dengan selamat serta menyumbang ke arah pengukuhan keselamatan secara menyeluruh.

“Justeru, bertepatan dengan peranan CGSO sebagai agensi peneraju keselamatan perlindungan negara, penganjuran konvensyen yang berobjektifkan pemerkasaan kapasiti dan keupayaan agensi kerajaan, dilihat selari dengan hasrat kerajaan dalam mendukung aspek keselamatan perlindungan dalam era digital,” katanya.

Menyentuh mengenai peranan CGSO yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri itu, Mohd Zuki berkata agensi tersebut merupakan penggerak utama dalam memastikan keselamatan perlindungan kerajaan dan sasaran penting negara terpelihara.

“Sebagai agensi pusat, CGSO menggalas tanggungjawab yang begitu penting dalam menerajui pembangunan pengurusan keselamatan perlindungan.

“Namun begitu, peranan bersama semua pihak adalah penting, bagi memastikan aspek keselamatan perlindungan ini terpelihara. Oleh itu, ramuan terbaik bagi memenuhi hasrat yang terkandung seperti kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta memerlukan gemblengan komitmen dan kerjasama erat pelbagai organisasi kerajaan,” katanya.

Pada majlis tersebut, sebanyak 81 agensi terdiri daripada kementerian, jabatan, badan berkanun, kerajaan tempatan, agensi kerajaan di pejabat Persekutuan dan Negeri yang berjaya menunjukkan komitmen tatakelola keselamatan yang mampan menerima penarafan kecemerlangan menerusi Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) Tahun 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan