EKONOMI

SELANGOR BAKAL BANGUNKAN KAWASAN INDUSTRI SEMIKONDUKTOR, TARIK LEBIH BANYAK PELABUR

28/05/2024 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Selangor sedang merangka pelan pembangunan kawasan industri semikonduktor bagi menarik lebih banyak pelaburan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dan mewujudkan lebih banyak pekerja berkemahiran.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ini termasuk pembangunan taman semikonduktor yang kini dalam proses penelitian oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

“Taman berkenaan akan dibangunkan di kawasan baharu. Kita sedang mengenal pasti keperluannya kerana perlu menepati ciri-ciri untuk mengisi keperluan industri semikonduktor,” katanya kepada wartawan pada majlis makan tengahari sempena penganjuran SEMICON Southeast Asia 2024 di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Amirudin berkata sektor semikonduktor telah bertapak di Selangor sejak 1970-an dan pengembangan ekosistem terbabit sedang giat diusahakan sejak tahun lepas bagi memanfaatkan permintaan tinggi terhadap produk berkaitan.

Malah, antara pemain yang bertapak sejak beberapa dekad di Selangor adalah syarikat Amerika Syarikat Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd dan NXP Malaysia Sdn Bhd. 

“Semikonduktor merupakan sektor dengan pelaburan besar dan menumpukan beberapa tempat seperti Taman Kulim Hi-Tech (Kedah), Sarawak, Pulau Pinang selain di Singapura. 

“Sejajar dengan keterujaan ramai terhadap kecerdasan buatan (AI), saya percaya ia mempunyai pasaran amat luas di samping pergerakan (peralihan) syarikat-syarikat China yang mencari tapak di lokasi luar akibat isu perdagangan,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Amirudin berkata penglibatan Selangor dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) bertujuan melonjakkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai daripada sekadar pemain kepada pemain strategik dalam ekosistem lebih luas.

“Inisiatif ini bertujuan melatih lebih daripada 300 jurutera dan kita juga telah mendapat minat pengendali utama. Namun, masih ada peluang keemasan lain yang boleh kita wujudkan kerjasama,” katanya.

Pada masa ini terdapat enam taman perindustrian baharu melibatkan kawasan seluas 1,214 hektar yang sedang dibangunkan di Selangor mengikut garis panduan terkini Taman Perindustrian Terurus Selangor (MIP).

Garis panduan MIP itu menetapkan taman perindustrian baharu dibangunkan dengan ciri-ciri teknologi maju seperti pengurus taman perindustrian khusus, memaparkan keperluan semasa untuk taman perindustrian antarabangsa dan pada masa sama menekankan alam sekitar, sosial dan tadbir urus sesuai untuk industri semikonduktor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan